My Add

Monday 21 January 2013

Dagangan Malaysia-India diunjur lepasi AS$15 bilion

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Januari, 2013: Hubungan dagangan dua hala antara Malaysia dan India dijangka melepasi AS$15 bilion tahun ini, peningkatan lebih cepat berbanding unjuran awal yang dijangkakan pada 2015.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay K. Gokhale, berkata pergerakan barangan dan perkhidmatan antara Kuala Lumpur dan New Delhi dijangka melepasi AS$13 bilion tahun lalu.

Walaupun angka akhir belum dikeluarkan, pesuruhjaya tinggi itu berkata pelaksanaan berterusan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (CECA) dan permintaan domestik yang semakin berkembang di India merupakan pemacu utama pertumbuhan perdagangan itu.

Antara Januari dan Oktober tahun lepas, eksport Malaysia ke India bernilai AS$7.7 bilion manakala import sebanyak AS$3.3 bilion.

"Dagangan antara Malaysia dan India meningkat kira-kira lima dan enam peratus, yang merupakan angka yang sangat baik jika mengambil kira data eksport Malaysia ke negara lain yang menunjukkan penurunan kecil.

"Dagangan tahun ini akan dirangsang oleh FTA India-Asean dalam perkhidmatan dan pelaburan. FTA itu dijadualkan dimeterai pada Ogos tahun ini," katanya kepada Bernama.

Pada pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya Dr Manmohan Singh baru-baru ini, kedua-dua pemimpin itu bersetuju menyemak naik sasaran dagangan dua hala kepada US$20 bilion pada 2015 berbanding US$15 bilion sebelumnya.

India adalah antara rakan dagang Malaysia paling penting. Sejak 1998, India merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia ke Asia Selatan.

Eksport utama Malaysia ke India ialah barangan elektrik dan elektronik, pengeluaran kimia dan produk kimia pengilang makanan dan daging.

Ditanya sama ada pelancong Malaysia ke India akan diberikan kemudahan visa ketibaan (VOA), Gokhale berkata: "Setakat ini, tidak. Saya tidak jangka kerajaan India suah menimbang untuk meluaskan skim itu.

"Ia masih merupakan projek perintis dengan beberapa negara."

Tahun lalu, kerajaan India merancang melanjutkan kemudahan VOA kepada Thailand dan Malaysia bagi menarik lebih ramai pelawat penganut Buddha. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment