My Add

Friday 18 January 2013

DAP cuba 'tutup' isu salah kira undi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari, 2013: DAP didakwa cuba menutup 'perkara sebenar' dalam proses pengiraan undi Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) apabila enggan mengadakan pemilihan semula.

Bekas Ketua Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat mendakwa, walaupun didesak oleh ahli-ahli parti, DAP terpaksa 'menyembunyikan' isu berkenaan atas faktor-faktor tertentu.

"Apa yang sedang disembunyikan oleh mereka? Memang semua tahu terdapat unsur manipulasi dalam pemilihan itu, kenapa tidak mahu bersikap telus seperti slogan-slogan mereka?

"DAP tidak demokratik kerana tidak mahu mendengar rintihan dan kesangsian ahli-ahlinya sendiri. Sebelum ini, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sendiri meminta sesiapa tidak berpuas hati untuk membuat aduan kepada parti.

"Apabila aduan dibuat, mereka enggan melayan sehingga memaksa ahli membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas pemilihan CEC parti pada 15 Disember lalu yang mengundang keraguan banyak pihak terhadap ketelusan keputusannya.

Dalam masa sama, Tuan Tat menggesa lebih ramai ahli DAP tampil mendesak parti mengadakan semula pemilihan demi mengembalikan kredibiliti parti itu.

"Saya seru kepada semua delegasi untuk meminta ROS campur tangan dalam perkara ini supaya perkara sebenar dapat diketahui umum.

"Jangan biarkan mereka terlepas sekiranya terdapat 'permainan kotor' oleh segelintir yang tamak kuasa," ujarnya.

Tuan Tat turut mengkritik Guan Eng sebagai 'cakap tidak serupa bikin' apabila kerap mempertikaikan kredibiliti dan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun gagal menterjemahkannya di dalam pemilihan partinya sendiri.

"Adalah retorik untuk membiarkan pemimpin seperti beliau yang sentiasa hebat bercakap tentang ketelusan dalam pilihan raya umum tetapi bukan dalam parti sendiri.

"Saya hendak tahu bagaimana Guan Eng bercita-cita memimpin negara yang mempunyai populasi 27 juta penduduk sekiranya 20 orang delegasi pun beliau tidak boleh kawal," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment