My Add

Saturday 12 January 2013

Dr Mahathir tekankan kesetiaan kepada parti, negara

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 11 Januari, 2013: Kepentingan atau cita-cita peribadi tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada parti dan negara, demikian ditegaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam posting terbaharu beliau melalui laman blognya, Dr Mahathir berkata, kecintaan seseorang terhadap parti dan negara sepatutnya lebih mendalam daripada kecintaan terhadap diri sendiri.

Dr Mahathir menulis demikian bagi mengulas perkembangan terbaharu di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan Susan Rice menolak jawatan Setiausaha Negara berikutan kritikan Parti Republican terhadap komen dan cara beliau menangani kes pembunuhan duta AS di Libya.

Katanya, walaupun Rice mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan Presiden AS, Barack Obama tetap mahu beliau menyandang jawatan Setiausaha Negara, tetapi beliau mengambil keputusan untuk tidak menerima jawatan itu.

Dr Mahathir berkata, Rice berpendapat pelantikannya akan mencemarkan pentadbiran serta Parti Demokrat dan beliau tidak mahu perkara itu berlaku, walaupun beliau tidak melakukan kesalahan.

"Barangkali, terdapat pengajaran di sini untuk ahli politik Malaysia daripada semua parti," kata Dr Mahathir sambil menambah bahawa apabila timbul keperluan, melakukan sedikit pengorbanan adalah jauh lebih mulia daripada membuktikan bahawa seseorang itu tidak bersalah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment