My Add

Monday 7 January 2013

Fatwa Amanat Haji Hadi haram perlu dihormati

JERAI, AHAD, 06 Januari, 2013: Semua pihak perlu menghormati dan berpegang kepada keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 bahawa kandungan Amanat Haji Hadi adalah haram kerana wujud dorongan kafir-mengkafirkan yang bertentangan dengan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemimpin parti politik terbabit termasuk ahlinya yang taksub dengan amanat itu sehingga mengundang perpecahan rakyat digesa kembali kepada ajaran Islam.

Katanya, keterbatasan dalam agama Islam perlu sentiasa dipelihara dan tidak sekali-kali diperjudikan kerana politik demi akidah umatnya.

"Majlis Fatwa Kebangsaan termasuk di peringkat negeri bersidang pada 1984 dan pada 3 Disember tahun sama, fatwa tersebut dikeluarkan kerana jelas sekali istilah kafir mengkafirkan sesama Islam adalah bertentangan dengan ajarannya. Fatwa diperbaharui pada Julai 2002.

"Jadi baik masyarakat mahupun pemimpin politik perlu kembali berpegang kepada fatwa itu. Harus diingatkan bahawa kita adalah pendakwah bukan penghukum dan keterbatasan dalam politik itu jika digaul bersama agama akhirnya umat Islam sendiri yang rugi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dan penyampaian peruntukan kepada masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Puntar, Bedong, di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi mengenai isu Amanat Haji Hadi yang difatwakan sebagai haram.

Menurutnya, implikasi ketaksuban sesetengah pihak terhadap amanat itu sangat besar termasuk mengundang perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Ini adalah fakta berdasarkan kisah yang dipaparkan dalam media bahawa ada yang tidak mahu menziarahi atau solat jenazah kerana berlainan fahaman politik.

"Hal ini bertebaran hebat sehingga wujud dua imam dalam satu masjid. Perkara ini mungkin atas kefahaman dan ketaksuban dengan amanat itu," katanya.

Mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu, Jamil Khir berkata, Guan Eng diingatkan agar tidak mencetuskan sentimen provokasi agama.

"Jangan bermain-main dalam soal ini kerana ia menyentuh dua pihak. Lagi pun beliau harus menghormati undang-undang kerana kes berhubung isu penggunaan kalimah Allah itu kini dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan," katanya.

Tambah beliau, Guan Eng perlu menjaga sensitiviti masyarakat kerana tindakannya itu hanya menimbulkan keresahan ramai pihak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment