My Add

Wednesday 9 January 2013

Gelombang Biru pastikan kemenangan BN

SEREMBAN, SELASA, 08 Januari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini melancarkan Gelombang Biru peringkat Negeri Sembilan bagi memastikan kemenangan lebih besar Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Gelombang Biru yang dilancar itu adalah gelombang rakyat yang mahu melenyapkan 'tsunami politik 2008' dengan menebus beberapa kerusi yang tewas dan memastikan kemenangan lebih besar BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Semangat pendukung BN pada malam ini begitu berkobar-kobar, semangat juang cukup tinggi. Inilah yang kita mahu lihat dalam jiwa setiap ahli komponen BN, sama ada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan komponen di Sabah dan Sarawak," katanya di Paroi dekat sini.

Muhyiddin berucap di hadapan puluhan ribu penyokong BN sewaktu melancarkan Gelombang Biru peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, rakyat yang berkuasa dan akan menentukan kerajaan mana yang perlu dipilih bagi mentadbir negara.

"Kita sedar rakyat sudah memberikan isyarat dalam pilihan raya umum yang lalu dan mahu BN beri perhatian kepada mereka," ujar beliau.

Maka, kata Muhyiddin, selepas pilihan raya umum lalu, banyak pembaharuan dibuat di bawah kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jadi tiada sebab, mengapa rakyat perlu menukar kerajaan. Tiada sebab rakyat tidak mengundi BN. Kita telah melakukan pembaharuan dan perubahan besar kepada kehidupan rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment