My Add

Sunday 6 January 2013

Henti pembohongan terhadap PR

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
Menteri Bsear Selangor

TAHUN 2012 adalah satu tahun yang produktif untuk Kerajaan Negeri Selangor dan saya serta barisan pimpinan kerajaan mulakan tahun baru 2013 dengan azam untuk menggandakan usaha dalam memberi perkhidmatan pada rakyat.

Namun amat menyedihkan Timbalan Perdana Menteri memulakan tahun baru ini dengan terus membuat tohmahan politik dengan mendakwa rakyat Selangor telah empat tahun diperdaya Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, rakyat Selangor dan Malaysia yang telah 55 tahun diperdaya Barisan Nasional (BN). Artikel ini berhasrat menunjukkan bukti kukuh berkenaan keutamaan diberi Pakatan Rakyat khususnya Kerajaan Selangor kepada kebajikan rakyat serta komitmen kami untuk amalkan tadbir urus beramanah.

Kami yakin bukan sahaja di Selangor bawah BN dahulu, tetapi di mana-mana negeri bawah naungan BN sekarang, bukti sebegini tidak mungkin dibentangkan. Dari segi pengurusan dan kedudukan kewangan serta peruntukan program kebajikan, kerajaan Selangor pimpinan PR jauh mendahului negeri-negeri bawah BN mahupun Kerajaan Persekutuan sendiri.

Apabila PR ambil alih kerajaan Selangor pada 2008, rizab tunai negeri hanya berjumlah RM760 juta. Dalam masa singkat empat tahun, kerajaan PR berjaya tingkatkan jumlah ini lebih tiga kali ganda ke RM2.5 bilion. Adakah ini hasil pengurangan perbelanjaan pembangunan?

Semestinya tidak. Sebaliknya, perbelanjaan untuk program-program kebajikan rakyat ditingkatkan setiap tahun, bukan diturunkan. Kelebihan dana tercapai bukannya melalui pengurangan perbelanjaan, tetapi dengan penghapusan ketirisan dan gejala rasuah yang sebelumnya amat berleluasa. Saya amat tegas dalam memastikan setiap sen duit rakyat diurus dengan rapi dan dibelanja secara beramanah.

Justeru itu, hasil negeri berjaya dikongsi secara sama rata tanpa mengira bangsa, agama atau politik. Program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor mencerminkan dasar asas Kerajaan PR yang menegaskan bahawa segala hasil negeri harus disalurkan terus kepada rakyat, tanpa sebarang ketirisan dan tanpa 'untung' yang bukan-bukan kepada pihak berkepentingan.

Rekod yang disimpan berkenaan perbelanjaan program MES merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memulakan program MES sebaik sahaja mengambil alih pada 2008.

Pada tahun itu, jumlah peruntukan adalah RM73 juta. Jumlah ini meningkat secara berterusan setiap tahun: RM161 juta (2009), RM173 juta (2010), dan RM192 juta (2011). Untuk 2012 sehingga September, peruntukan adalah RM165 juta dan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan demi kebajikan rakyat melalui program MES dalam empat tahun ini adalah RM766 juta.

Empat program berjalan secara berterusan sejak 2008: 20 meter padu air percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Pendidikan Anak-Anak. Setiap tahun, program-program MES baru diperkenalkan. Program-program ini tidak mengambil pendekatan seperti dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan yang menabur gula-gula berupa duit dan barangan secara buta dengan tujuan beli undi.

Sebaliknya, asas MES adalah pemerkasaan dan pemberdayaan lestari, di mana rakyat diberi modal, latihan dan pertolongan supaya mampu dan sedia berhadapan dengan segala cabaran ekonomi secara berdikari.

Jumlah rakyat menerima bantuan MES juga telah meningkat secara konsisten sejak 2008: 1.10 juta orang (2008), 1.19 juta orang (2009), 1.25 juta orang (2010), 1.30 juta orang (2011) dan 1.34 juta orang (2012, sehingga September). Bukti terperinci komitmen boleh dilihat dalam laman web rasmi. http://mes.selangor.gov.my.

Maka, dengan bukti yang dikemukakan di atas, jelas ternampak bahawa komen-komen TPM adalah komen pemimpin Umno yang kian terdesak sehingga tanpa segan silu sanggup membuat pembohongan secara terbuka kepada rakyat.

Saya ingin bertanya kepada beliau apa yang beliau telah lakukan sebagai Menteri Besar Johor ketika pemberian kontrak secara monopoli kepada Syed Bukhari? Bagaimana pula ketika rakyat Johor dipaksa membayar tarif air di antara tertinggi di Malaysia?

Sekarang di peringkat persekutuan, bilakah beliau akan berhenti berdolak dalih tentang isu pengembalian kawalan industri air kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang diniatkan dalam Akta WSIA 2006 – satu proses yang dimulakan oleh BN sendiri.

TPM sepatutnya berfikir dua kali sebelum membuat tohmahan kepada kerajaan PR Selangor. Kerajaan BN bentangkan belanjawan defisit bagi tahun 2013. Meskipun demikian, memandangkan PRU13 begitu hampir, maka ianya penuh dengan gula-gula pilihan raya. Lebih teruk lagi hutang negara pula melebihi RM500 bilion.

Sebaliknya Selangor berjaya bentangkan belanjawan berimbang lima tahun berturut-turut dan lebih menekankan pelaburan jangka masa panjang demi kebaikan rakyat. Ini mencerminkan prinsip Kerajaan Negeri PR yang enggan gadai masa depan generasi akan datang hanya untuk menang pilihan raya melalui kaedah-kaedah tidak halal.

Saya seru berhenti membuat fitnah terhadap pemimpin PR di Selangor dan bertanding dengan berhemah. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Umno Selangor telah gagal menggoyahkan semangat rakyat Selangor, jadi tiada sebab Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mencuba. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment