My Add

Monday 7 January 2013

Hubungan Malaysia-Australia janjikan masa depan cerah

MEILBOURNE, ISNIN, 07 Januari, 2013: Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), yang berkuat kuasa 1 Januari baru-baru ini, dijangka menarik banyak syarikat Australia, terutama sekali yang terlibat di dalam sektor perkhidmatan, untuk ke Malaysia.

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang akan tamat perkhidmatannya di Australia, Ahmad Khairuddin Abdul Rahim, berkata keyakinannya itu adalah berasaskan bahawa Malaysia menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif bagi perniagaan Australia untuk berkembang dan makmur apabila menjadikan Malaysia hab semula jadi bagi rantau ini.

"Syarikat Australia mempunyai kepakaran kelas dunia di dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan perniagaan, minyak dan gas, teknologi bersih, pengurusan alam sekitar dan penyelidikan dan pembangunan," katanya.

Khairuddin berkata kertas putih Kurun Asia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Julia Gillard baru-baru ini "adalah bukti bagaimana pentingnya Asia kepada Australia dan di dalam hubungan ini, Malaysia adalah komponen penting di segi pendidikan.

"Perniagaan Australia sangat berminat memasuki pasaran Malaysia kerana ia adalah gerbang ke Asia," katanya.

"Mereka menghargai dan akur bahawa kerajaan Malaysia adalah stabil dan mereka merasa selesa berurusan dengan rakyat Malaysia yang mereka rasakan mesra perniagaan dan kita menghormati perjanjian perdagangan," katanya.

Beliau, yang akan menjawat jawatan Pengarah Bahagian Teknologi Bersih dan Pengurusan Alam Sekitar, akan pulang ke Kuala Lumpur pada minggu depan selepas bertugas selama tiga tahun di Australia.
Penggantinya akan diumumkan kelak.

"Saya berharap pengalaman dan hubungan saya di Australia, di mana teknologi bersih dan pengurusan alam sekitar menjadi perhatian utama agenda kerajaannya, akan membantu saya mendapatkan maklumat dan nasihat kepakaran yang baik."
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment