My Add

Friday 18 January 2013

Isu menjelang PRU-13 jadi penentu parti bakal dipilih rakyat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Pelbagai isu yang timbul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dijangka menjadi penentu kepada parti yang bakal dipilih oleh majoriti rakyat negara ini.

Ahli akademik, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, beberapa kajian dijalankan mendapati, kebanyakan pengundi hanya akan memberikan undi mereka kepada parti yang dapat menjawab atau menyelesaikan isu-isu dibangkitkan.

"Keadaan semasa menyaksikan golongan muda telah menguasai jumlah bilangan pengundi dengan membawa bersama isu dan suara mewakili mereka malah kemunculan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membangkitkan isu, turut harus diberikan perhatian.

"Bagi golongan pengundi atas pagar, mereka didorong oleh isu yang dimainkan, mereka dijangka membuat pilihan berdasarkan kemampuan sesebuah parti menjawab setiap isu berbangkit tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas hadir sebagai panel Wacana Pra PRU-13 bertajuk Siapa Jadi Pilihan? anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.

Majlis perasmian wacana tersebut disempurnakan oleh Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid.

Seramai 100 peserta terdiri daripada ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan hadir pada sesi perbincangan secara tertutup dan tanpa penglibatan ahli-ahli politik itu.

Wacana tersebut dianjurkan antara lain bertujuan untuk menganalisis sokongan dan pola pengundian semasa serta menilai peluang Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang secara keseluruhan menjelang PRU-13.

Seorang lagi ahli panel, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, selain pendekatan kempen menawan hati pengundi muda oleh BN mahupun pakatan pembangkang, perkara yang juga harus diberi perhatian adalah soal membabitkan pengundi wanita.

"Kita tidak pernah bincang bagaimana strategi menawan hati pengundi wanita walhal golongan ini merupakan separuh daripada keseluruhan jumlah pengundi.

"Ketika ini, kita terlalu memberi perhatian kepada golongan muda sedangkan peranan wanita dalam menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti dalam PRU-13 akan datang adalah sangat besar," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment