My Add

Saturday 5 January 2013

Isu tanah: Tubuh suruhanjaya siasat, Mustapa gesa Kelantan

 TANAH MERAH, SABTU, 05 Januari, 2013: Kerajaan Kelantan didesak menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menjalankan inkuiri terbuka berhubung isu pajakan tanah di negeri ini supaya rakyat dapat mengetahui kedudukan sebenar perkara tersebut.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat Kelantan kini menuntut kerajaan negeri membuat pendedahan terbuka dan telus mengenai isu pajakan tanah yang menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk kawasan lebih 4,000 hektar di Hulu Kelantan kepada syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin DAP.

Rakyat sekarang ini ingin mengetahui sama ada kelulusan pajakan tanah yang diberikan kepada syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin DAP berkenaan adalah kerana kerajaan negeri terpengaruh dengan DAP dan rapatnya hubungan DAP dengan Pas, katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra terhadap peniaga di Pasar Besar Tanah Merah di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan negeri yang dikatakan memberi pajakan tanah di jajahan Gua Musang kepada syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin DAP yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Mustapa berkata, rakyat kini ingin mengetahui sama ada proses pajakan tanah tersebut dibuat mengikut urusan perniagaan biasa atau luar biasa serta mereka ingin mengetahui kedudukan dasar tanah negeri sama ada sudah memberi keutamaan kepada "orang luar" berbanding rakyat negeri ini.

"Kita nak tahu sama ada tanah yang dianugerahkan itu mengakibatkan orang Kelantan yang pernah meneroka tanah berkenaan terpinggir, adakah orang luar diberi keutamaan dalam pemilikan tanah berbanding dengan orang Kelantan... orang Kelantan masih dahagakan tanah, adakah dasar kerajaan negeri tidak menganugerahkan tanah kepada rakyatnya sendiri sebalik menganugerahkan tanah kepada konco-konco dan kroni-kroninya termasuk DAP, ini semua rakyat nak tahu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak harus takut untuk menjelaskan perkara sebenar secara telus sekiranya Pas yang mendakwa sebuah parti Islam jujur kepada rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment