My Add

Monday 7 January 2013

Jadi nelayan pantai selepas keluar penjara Indonesia

*ROSLIAbd. Rashid membaiki sauk di rumahnya di Jalan Parit Ibrahim, Pontian, semalam.

PONTIAN AHAD, 06 Januari, 2013: Tarikh 6 Januari amat bermakna bagi enam nelayan di Pontian Besar di sini.

Ini kerana pada tarikh 6 Januari tahun lalu, mereka dibebaskan selepas 10 bulan menjalani hukuman penjara di Bengkalis, Indonesia setelah ditahan Polis Air (Pol-Air) Republik Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu ketika menangkap ikan pada 8 Mac 2011.

Nelayan terlibat ialah tekong, Ibrahim Mohd. Kassim dan awak-awaknya, Redzuan Ariss, 36, Mohamad Zamri Hambali, 41, dan seorang warga negara Indonesia, Subani Samsudin, 41, serta rakan daripada sebuah lagi bot lain iaitu Zainudin Adam, 54, Rosli Abd. Rashid, 35, dan Jamil Mat Top, 54.

Mereka ditahan pada kedudukan 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, Batu Pahat berhampiran Tampok, Pontian ketika keluar menangkap ikan dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh mahkamah di Bengkalis dengan kedua-dua bot pukat tunda dirampas dan diarah membayar denda 1 bilion Rupiah (RM350,000) setiap seorang.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan pertemuan sebanyak dua kali dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berhubung perkara tersebut sebelum Susilo memutuskan menawarkan pengampunan iaitu pengurangan hukuman penjara dan menghapuskan denda tersebut.

Mereka dibebaskan daripada Penjara Bengkalis pada 6 Januari 2012 dan tiba di Jeti Penumpang Muara Sungai Melaka, Banda Hilir Melaka pada hari yang sama.

Utusan Malaysia sempat menemui dua daripada lima mereka yang tidak lagi ke laut dan memilih kehidupan sebagai nelayan pantai bagi mencari pendapatan seharian untuk menampung keluarga masing-masing.

Difahamkan, hanya Ibrahim telah menukar kerjaya dengan kini berkhidmat dalam agensi kerajaan.

Bagaimanapun Zainuddin kini keluar ke laut menggunakan bot kecil dan menjaring ikan kira-kira satu batu nautika dari kawasan pantai kerana tiada pilihan lain untuk mencari nafkah.

''Walaupun pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan, saya perlu ke laut bagi menyara kehidupan bersama isteri dan seorang anak lelaki yang masih bersekolah.

''Ini sahaja kerja yang saya mampu lakukan kerana 'sudah hidup' di laut selama 32 tahun dan pada usia sebegini sukar untuk mencari kerja lain.

''Saya pun tidak tahu nasib bot yang dirampas dan usaha menebusnya memerlukan kos yang tinggi. Saya pun sudah tidak menaruh harapan untuk kembali menjadi tekong kecuali ada pihak yang membantu mendapatkan sebuah bot baru," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Dungun, Pontian Besar di sini semalam.

Rosli juga memilih untuk menjadi nelayan pantai bagi meneruskan kehidupan walaupun pendapatan yang diterima kadang kala tidak menentu.

Dia sekeluarga yang kini menyewa sebuah rumah di Jalan Parit Ibrahim dengan sewa sebanyak RM200 sebulan kadang kala berdepan masalah untuk melunaskan bayaran tersebut kerana pendapatan rendah.

''Pendapatan sebagai nelayan pantai tidak menentu bergantung pada cuaca dan hasil tangkapan, kadang kala hanya mendapat RM100, belum ditolak kos minyak dan air batu," ujarnya yang mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah.

Sama seperti Zainuddin, Rosli juga mengharapkan bantuan bot yang lebih besar bagi membolehkan dia dan rakan-rakan yang lain mencari pendapatan lebih lumayan berikutan kos sara hidup yang meningkat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment