My Add

Monday 21 January 2013

Jangan jadikan kes kehilangan Zhen Zhong bahan gurauan: Polis

SHAH ALAM, ISNIN, 21 Januari, 2013: Polis meminta orang ramai supaya tidak menjadikan kes William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini Rabu lalu, sebagai bahan gurauan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata, ia berikutan terdapat pelbagai panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima ibu bapa kanak-kanak terbabit daripada beberapa pihak tidak bertanggungjawab.

"Baru-baru ini ada pihak yang membuat panggilan (telefon) dan meminta wang tebusan daripada ibu bapa kanak-kanak ini. Apabila ditanya berhubung kanak-kanak itu, panggilan dimatikan dan disusuli pula SMS yang mengatakan mereka berbuat demikian hanya sekadar main-main.

"Ini kes budak hilang, kenapa perlu dibuat bahan mainan, tolong jangan menghubungi ibu bapa kanak-kanak ini jika tiada keperluan. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melakukan perkara seperti ini," katanya hari ini.

Rabu lalu, anak kedua daripada tiga beradik itu dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights dekat sini apabila gagal ditemui selepas dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.

Sehingga kini, misteri kehilangan kanak-kanak berumur enam tahun itu, masih diklasifikasikan sebagai kes 'orang hilang'.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, buat masa ini polis masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kehilangan Zhen Zhong.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-56319800. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment