My Add

Saturday 19 January 2013

Kajian tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan di peringkat akhir

 BATU PAHAT, JUMAAT, 18 Januari, 2013:: Kementerian Pelajaran kini dalam peringkat akhir kajian untuk menjadikan mata pelajaran tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kerajaan sedar banyak Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang enggan mendaftar dengan kementerian kerana khuatir kurikulum mereka termasuk mata pelajaran tahfiz disekat oleh kementerian.

"Sehubungan itu kajian untuk menyelaras kuriukulum tahfiz sebagai mata pelajaran kebangsaan sudah dijalankan dan kini dalam peringkat akhir dan akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menyampaikan bantuan khas awal persekolahan kepada 1,165 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bentara Luar di sini.

Mohd Puad meminta pihak SAR supaya mendaftar dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan kerajaan menyalur lebih banyak bantuan seperti bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar.

"Bukan sahaja bantuan persekolahan, tetapi guru-guru mereka juga kita akan latih menjadi guru kementerian bagi membolehkan laluan kerjaya mereka lebih baik, mendapat gaji yang tetap dan berpencen," katanya.

Beliau berkata banyak SAR di Pulau Pinang dan Kedah telah mendaftar menjadikannya sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Sementara itu, Mohd Puad berkata selain meringankan bebanan ibu bapa, bantuan persekolahan tersebut juga merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap jasa dan sumbangan ibu bapa dalam bidang pendidikan negara.

"Bagi saya RM100 mempunyai makna yang besar, iaitu kerajaan mengiktiraf ibu bapa dan kehadiran mereka ke sekolah untuk menerima bantuan, secara langsung menunjukkan kerjasama yang erat di kalangan ibu bapa dan guru," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment