My Add

Tuesday 15 January 2013

Kegagalan pakatan buka peluang BN rampas Selangor

KUALA LUMPUR, ISNIN, 14 Januari, 2013: Konflik dalaman yang melanda kerajaan Selangor membuka ruang dan peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, faktor tersebut merupakan petunjuk kepada kegagalan pentadbiran pakatan pembangkang dan pendorong untuk BN meraih semula sokongan rakyat.

"BN bagaimanapun perlu mampu menyusun strategi dalam menjadikan kelemahan lawan sebagai peluang meningkatkan sokongan rakyat.

"Perpaduan antara ahli parti, pemilihan calon bersesuaian dan jentera parti yang ampuh juga perlu dijadikan sebagai kekuatan dan nilai tambah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membayangkan tarikh PRU-13 yang semakin dekat, mengajak seluruh rakyat pelbagai kaum di negeri Selangor agar membuat perubahan dengan menukar tampuk pemerintahan Selangor kembali kepada BN.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, rakyat negeri ini perlu terus mengekalkan Putrajaya di tangan BN untuk membolehkan Kerajaan Pusat membawa kemajuan yang lebih hebat dan berjaya di Selangor.

Tambah Sivamurugan, integriti calon juga akan menjadi penanda aras dalam menentukan kemenangan berpihak kepada BN.

"Perubahan yang mahu dilihat pengundi bermula daripada pemilihan calon yang bukan sekadar popular tetapi tetapi boleh mewakili kawasan, memenangi hati majoriti pengundi, boleh berkhidmat dan menganggap diri sebahagian daripada rakyat," ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula melihat faktor pendorong kemenangan BN hanya boleh dijangka di atas kertas, namun akhirnya yang membuat keputusan itu nanti adalah golongan 'atas pagar' atau pengundi di sesuatu kawasan itu sendiri.

Jelasnya, sejauh mana rakyat melihat isu-isu berkaitan kerajaan Selangor sebagai satu permasalahan sebenar atau propaganda, akan menjadi penentu kepada keputusan mereka untuk memilih tampuk pemerintahan negeri itu.

"Justeru, BN perlu pandai mengolah isu-isu ini untuk mempengaruhi (meyakinkan) pengundi kerana saingan pilihan raya umum kali ini dilihat begitu sengit dan mencabar.

"Soal siapa calon dan integriti individu yang mewakili sesuatu kawasan juga akhirnya turut menjadi faktor penilaian kepada pengundi. Adakah calon yang dipilih sekadar tangkap muat, sudah teruji integritinya sama ada telah diketahui oleh pengundi sendiri mahupun pihak berkenaan," katanya.

Tambah Zainal Abidin, perayu yang bertindak menarik pengundi juga perlu berperilaku sopan, tidak mengugut dan berteriak kerana situasi itu juga dilihat mempengaruhi pengundi.

"Justeru, untuk meraih undi strategi kena betul dan perayu perlulah ikhlas dalam meyakinkan pengundi. Jangan berucap mengikut emosi tetapi kemukakan hujah secara rasional kerana pengundi akan melihat bagaimana negara ditadbir pada masa hadapan.

"Perasaan pengundi muda juga perlu dijaga kerana kadang-kadang mereka mudah muak dengan 'politiking' yang tidak sudah-sudah ," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment