My Add

Tuesday 15 January 2013

Kerajaan tidak pernah terima pampasan RM207 bilion

 *MEMO yang didakwa dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan berhubung bayaran pampasan kepada buruh binaan kereta api Perang Dunia II bertarikh 29 Mac 2011. Bagaimanapun, kementerian mengesahkan memo tersebut adalah palsu. - Gambar: Blog Anak Sungai Derhaka

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Januari, 2013: Kerajaan Malaysia tidak pernah menerima bayaran pampasan sebanyak RM207 bilion daripada kerajaan Jepun untuk diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan kereta api dari Thailand ke Myanmar semasa Perang Dunia Kedua.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini menjelaskan, dakwaan yang dikatakan berpunca daripada memo bertarikh 29 Mac 2011 oleh kementerian itu adalah palsu.

Menurut kenyataan itu, memo tersebut dipalsukan dan satu laporan polis telah dibuat pada 26 September tahun lalu.

"Kedutaan Jepun juga telah menulis surat kepada kementerian pada 9 Januari lalu bagi meminta penjelasan tentang perkara ini kerana mereka tidak pernah membayar sebanyak RM207 bilion.

"Ini membuktikan ada pihak yang tidak bertanggungjawab ingin memburuk-burukkan dan menjatuhkan imej serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan Kementerian Kewangan,’’ kata kenyataan itu.

Baru-baru ini, portal berita milik Pas, Harakahdaily melaporkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin `mendedahkan’ beberapa dokumen yang didakwa menunjukkan kerajaan Malaysia menerima wang pampasan tersebut.

Salinan memo Kementerian Kewangan kepada Persatuan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Ke Burma 1942-1946 bertarikh 29 Mac 2011 merupakan salah satu dokumen yang didedahkan Mohammad Nizar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment