My Add

Friday 18 January 2013

Khidmat bakti terbaik BN

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

 *NAJIB ditemu bual oleh penyampai SelangorBN.fm, Kavimani Muthayam (kanan) sambil diperhatikan oleh para pemimpin BN Selangor termasuk Noh Omar dan Mohd. Zin Mohamed semasa Majlis Pelancaran radio SelangorBN.fm di Bangunan UMNO Selangor di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
SHAH ALAM, KHAMIS,17 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan Barisan Nasional (BN) akan memberi khidmat bakti yang jauh lebih baik berbanding pakatan pembangkang jika diberi mandat mentadbir semula Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, jaminan itu dibuat bukan kerana parti tersebut mahu kuasa semata-mata tetapi atas keyakinan dan kepercayaan BN memiliki segala keupayaan untuk memberi khidmat bakti terbaik, berbanding pembangkang yang menghidangkan pelbagai masalah kepada rakyat.

Menurutnya, pelbagai masalah dalam tempoh sepenggal Selangor ditadbir pakatan pembangkang yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk terbaru isu masalah air, sudah cukup untuk menyedarkan para pengundi bahawa hanya BN sahaja mampu memenuhi hasrat serta aspirasi mereka.

Pada masa sama, Najib berkata, selaku pemimpin nombor satu negara, beliau akan memastikan Selangor tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat negara kerana negeri itu terlalu strategik dan bagi tujuan tersebut kepimpinan negeri mesti selari dengan pentadbiran Pusat.

"Kita merayu pengundi beri peluang kepada BN sebab negeri ini terlalu strategik untuk negara. Penting wujud keselarasan antara kerajaan negeri dan Pusat. Kalau tidak rakyat akan susah kerana pasti berlaku pelbagai masalah berbangkit yang akhirnya bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi merugikan negara.

"Kebelakangan ini terlalu banyak masalah terutama kegagalan pembangkang menunaikan janji. Mereka mungkir janji dan saya pantang orang mungkir janji. Saya percaya rakyat Selangor pun sama," katanya ketika ditemu bual semasa merasmikan pelancaran radio SelangorBN.fm di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed.

SelangorBN.fm yang merupakan radio dalam talian dan mula beroperasi sejak November 2012 diwujudkan sebagai medium terbaru BN Selangor untuk mendekati rakyat negeri tersebut khususnya golongan muda selain menjadi platform bagi mendapat maklum balas daripada rakyat.

Mengulas mengenai pelancaran radio tersebut, Perdana Menteri berkata, perkara itu merupakan satu perkembangan sangat baik dan membuktikan kepada rakyat bahawa BN Selangor bukan sebuah parti yang statik, sebaliknya berjaya memikirkan banyak idea-idea baru dalam mendekati rakyat.

Najib yang gembira dengan langkah proaktif BN Selangor itu menambah, sejak dikejutkan tsunami politik pada 2008 sehingga menyaksikan Selangor terlepas ke tangan pembangkang, banyak perubahan komprehensif dilakukan parti tersebut dalam mendekati dan merasai sendiri denyut nadi rakyat.

"Radio ini merupakan medium yang sangat baik untuk kita menyampaikan mesej BN dan di samping itu mendapat maklum balas dari rakyat yang mana ia akan dijadikan landasan untuk BN memberi khidmat bakti lebih baik dan berkesan kepada rakyat Selangor," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment