My Add

Thursday 10 January 2013

KL-Bangkok setuju tukar banduan, ekstradisi

PUTRAJAYA, RABU, 09 Januari, 2013: Kerjasama Malaysia-Thailand dalam bidang keselamatan maju setapak lagi apabila masing-masing bersetuju memeterai perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan lima aspek termasuk pertukaran banduan.

Aspek lain yang turut dipersetujui Kuala Lumpur dan Bangkok termasuklah ekstradisi penjenayah, pembanterasan jenayah merentasi sempadan, pengwujudan rangka undang-undang mengenai jenayah serta perkongsian maklumat perisikan.

Perkara itu dipersetujui semasa pertemuan empat mata antara Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr. Chalerm Yoobamrung dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, Thailand mungkin menjadi nagara pertama memeterai perjanjian pertukaran banduan dengan Malaysia kerana Parlimen kedua-dua negara telah meminda undang-undang bagi membolehkan program itu dilaksanakan.

''Thailand bersetuju untuk laksanakan pertukaran banduan dengan Malaysia pada kadar segera.

''Selain Thailand, kita juga sedang berbincang dengan Indonesia supaya pertukaran banduan juga boleh dijalankan dengan negara tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Chalerm di kementeriannya.

Dalam pertemuan itu, pemimpin kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk memulihkan keamanan di selatan Thailand bagi menjamin kesejahteraan serantau.

Hishammuddin berkata, pelbagai inisiatif yang dipersetujui Kuala Lumpur dan Bangkok pada hari ini merupakan kunci kepada kestabilan berpanjangan di selatan Thailand.

''Dalam dunia tanpa perbatasan ini, pergerakan penjenayah, penyeludup dan pengganas tidak dihalang oleh sempadan. Aktiviti haram seperti ini perlu ditangani secara bersama," katanya.

Dalam pada itu, Chalerm menyifatkan pertemuan hampir sejam bersama Hishammuddin sebagai amat bermakna kerana pelbagai isu telah dibincangkan secara ikhlas.

''Kita telah berbincang mengenai isu pekerja Thai di Malaysia, masalah penyeludupan dadah dan aktiviti pengganas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment