My Add

Tuesday 8 January 2013

Kontraktor Malaysia minat projek di India

COCHIN (India), ISNIN. 07 Januari, 2013: Malaysia meminta India serius mempertimbangkan penyertaan kontraktor Malaysia dalam projek tebus guna seluas 56 hektar di Mumbai dan projek perbandaran di Tamil Nadu.

Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau telah meminta Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh supaya mengadakan perbincangan selanjutnya antara kedua-dua negara mengenai projek-projek yang boleh mengeratkan lagi hubungan dua hala.

"Saya mengemukakan kedua-dua cadangan ini kepada Perdana Menteri India susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India bulan lepas," kata beliau kepada pemberita di luar majlis Pravasi Bharatiya Divas 2013, persidangan terbesar mereka yang berasal dari India di sini hari ini.

Beliau berkata, projek penambakan yang dicadangkan itu, meliputi tempoh 10 tahun, akan menukar wajah Mumbai dan menjadikannya lebih menarik untuk pelabur antarabangsa melabur ke dalam ekonomi India.

Samy Vellu berkata, beliau menggesa Perdana Menteri India agar memberi 'pertimbangan mendalam' kepada kontraktor Malaysia untuk projek besar-besaran itu, yang kosnya masih belum dipastikan.

Beliau berkata, kerajaan India telah digesa untuk melihat cara-cara kontraktor Malaysia boleh mengambil bahagian dalam projek itu, lebih-lebih lagi kerana mereka mempunyai reputasi yang baik dalam menjalankan projek pembinaan di India.

Projek-projek itu akan membawa perubahan besar kepada India, setelah kerajaannya berminat untuk menggantikan bangunan-bangunan lama dan membangunkan bandar baru.

Samy berkata, kerajaan Malaysia akan mengambil perhatian masalah dan kebimbangan yang dihadapi oleh pekerja India di Malaysia dan bertindak untuk menyelesaikannya bagi meningkatkan hubungan dua hala. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment