My Add

Friday 25 January 2013

Mampu cetus hubungan baik Hamas, Fatah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 Januari, 2013: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin mampu membantu mewujudkan hubungan lebih baik antara Hamas dan Fatah sekali gus membuka lembaran baru buat rakyat Palestin yang telah lama mengimpikan keamanan.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, lawatan itu mengimbau semula peranan Malaysia dalam proses perdamaian antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina yang berjaya diselesaikan sebelum ini.

"Usaha Najib ini dapat membantu hubungan kedua-dua pihak yang turut menjadi harapan rakyat Malaysia melihat penyatuan mereka demi rakyat Palestin sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas lawatan Najib ke Gaza kelmarin yang dibuat atas faktor kemanusiaan dan menjadi simbol sokongan kuat Malaysia demi rakyat Palestin.

Lawatan itu mencatat sejarah tersendiri dan menjadi peluang serta kesempatan melahirkan sokongan kepada Fatah dan Hamas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan secepat mungkin.

Md. Shukri berkata, lawatan Najib itu juga membuktikan dasar luar Malaysia yang pro-Palestin sejak dahulu akan sentiasa subur dan konsisten.

"Dalam konteks ini, lawatan itu menunjukkan kita mempunyai semangat ukhuwah yang cukup kuat yang mana Malaysia tidak akan terus membiarkan kezaliman Zionis bermaharajalela di Palestin.

"Kesanggupan Najib ke kawasan yang begitu genting dan mampu menggugat keselamatannya itu memperlihatkan keazaman beliau membawa semangat rakyat Malaysia ke Palestin," katanya.

Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, lawatan Najib berupaya membuka peluang kepada Malaysia memainkan peranan dalam penyatuan antara kedua-dua kumpulan yang bertelagah itu.

Katanya, Malaysia mampu memainkan peranan itu kerana Hamas dan Fatah meletakkan kepercayaan terhadap negara ini.

"Walaupun sebelum ini ada laporan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sangsi dengan lawatan Najib kerana dianggap cuba memberi pengiktirafan kepada Hamas, tetapi Najib telah jelaskan perkara sebenar iaitu lawatan itu adalah misi kemanusiaan.

"Sebenarnya, Malaysia ada peranan dalam merapatkan hubungan antara kedua-dua kumpulan ini. Kita lihat minggu lalu mereka bersetuju menjalankan program perpaduan, jadi ini peluang Malaysia untuk membantu," katanya.

Azmi berkata, kejayaan lawatan itu juga wajar dipuji kerana jelas menunjukkan keazaman Najib melakukan usaha sedemikian walaupun menyedari lawatan tersebut sensitif untuk dilakukan.

"Rakyat Malaysia tidak seharusnya melihat lawatan ini sebagai agenda politik. Beliau sebenarnya mewakili rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan moral dan pelbagai aspek lain kepada rakyat Palestin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment