My Add

Sunday 6 January 2013

Mangsa banjir bersyukur terima bantuan kerajaan

 *NAJIB Tun Razak menyampaikan sumbangan wang ihsan banjir 2012 bagi 
daerah Kuantan di Dewan KIPSAS, Kuantan semalam. - MINGGUAN
/MAHATHIR ALI

KUANTAN, SABTU, 05 Jan Nasib malang yang menimpa 686 penduduk akibat banjir luar biasa yang melanda daerah ini terus mendapat perhatian kerajaan apabila menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 setiap keluarga.

Lebih mengharukan mereka apabila sumbangan itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Banjir di Dewan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) di sini hari ini.

Bagi penduduk Kampung Kempadang, Awang Mat, 84, dia terharu apabila nasib keluarganya yang terjejas akibat musibah itu mendapat perhatian segera daripada kerajaan.

"Syukur sangat kerana kerajaan dapat membantu kami, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin kerana sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat meringankan beban kami.

"Banjir tahun ini berlaku dengan pantas, dan banyak barangan yang tidak sempat diselamatkan. Mujurlah dengan adanya sumbangan ini, dapatlah saya sediakan kelengkapan rumah yang baru," katanya.

Penduduk Kampung Lubuk Puyu, Sabariah Mat Ali, 73, berkata, keprihatinan kerajaan amat menyentuh perasaannya dan gembira dengan sumbangan itu.

"Makcik amat bersyukur dan terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan, terutamanya Perdana Menteri kerana sanggup turun padang dan menyampaikan sendiri sumbangan kepada kami.

"Ini bukti kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib kami apabila ditimpa kesusahan. Terima kasih kepada kerajaan, terima kasih kepada semua pihak yang terus memberikan sumbangan kepada kami," katanya.

Bagi Kamarul Arifin Mat Deli, 37, dari Kampung Baru Chendering berkata, bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini akan digunakan sebaik mungkin memandangkan cuaca di kawasan Kuantan tidak menentu pada masa ini.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Pusat yang prihatin dengan nasib kami di sini. Kami akan gunakan sumbangan ini dengan sebaik mungkin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment