My Add

Thursday 17 January 2013

Mengaku bersalah bukan jaminan hukuman ringan: Peguam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah bukan jaminan kepada hukuman ringan, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Beliau berkata, masyarakat terutama suspek kes atau orang kena tuduh (OKT) perlu mengubah persepsi itu dan sewajarnya melantik peguam bela apabila dihadapkan ke mahkamah supaya perkara sebenar dan fakta kes dapat dinyatakan dengan lebih tepat serta teratur.

"Persepsi ini tak berapa tepat kerana walaupun dia mengaku salah, kadang kala fakta itu perlu dibentangkan supaya hakim boleh buat keputusan dengan tepat dan betul.

"Bila tidak diwakili peguam kadang-kadang OKT ini tak boleh menyatakan perkara yang sebenarnya kepada mahkamah dan secara tidak langsung mungkin menyebabkan satu keputusan yang tak berapa tepat," katanya.

Musa berkata, selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan membela diri, kerajaan melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) pada Februari 2011 hasil inisiatif dengan Majlis Peguam Malaysia untuk menyediakan khidmat bantuan guaman kepada golongan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM25,000 setahun.

Menurut Musa, ketika ini, 300 peguam syarie berada di dalam YBGK dan jumlah itu akan ditambah kepada 1,500 orang (tidak menyatakan tempoh) di seluruh negara supaya lebih ramai lagi dapat dibantu khususnya berkaitan kes syariah.

Mengulas penyediaan khidmat peguam bela oleh YBGK, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, ia adalah usaha yang dapat meluhurkan undang-undang sekali gus membuktikan tiada pihak yang dinafikan hak mereka untuk mendapat kebenaran.

Muhammad Sha'ani, yang juga Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) berkata sesiapa sahaja yang dihadapkan ke mahkamah perlu mendapat pengadilan sewajarnya termasuk diwakili pengamal undang-undang kerana pembelaan memerlukan pengetahuan dan kepakaran.

"Orang yang dituduh harus ada peluang untuk membela diri dan untuk itu adalah wajar mereka yang kurang mampu ini dibantu dengan menggunakan khidmat peguam bela yang ada di dalam YBGK," katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Dekan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Martadar Mohamed yang berkata penyediaan khidmat bantuan guaman di bawah YBGK merupakan satu langkah proaktif kerajaan.

Menurut Martadar amalan tersebut sudah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang mana kerajaan akan melantik peguam awam untuk mewakili seseorang yang tidak mampu apabila dihadapkan ke mahkamah.

"Selama ini ada yang mengatakan yang kaya ada kelebihan untuk melantik peguam terkenal, manakala bagi yang tak mampu mungkin sukar untuk menegakkan kebenaran.

"Apabila ada bantuan seperti ini keyakinan masyarakat terhadap proses perundangan dan badan perundangan akan meningkat selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Peguam Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman, bantuan tersebut sememangnya sangat diperlukan terutama oleh golongan kurang berkemampuan.

"Cuma saya harap supaya peguam dalam YBGK biarlah yang hebat-hebat dan terbaik," katanya.

Pada masa sama, Ma'amor berharap masyarakat dapat mempelajari sedikit sebanyak mengenai undang-undang untuk mengelakkan mereka daripada terbabit dengan jenayah dan pengetahuan itu katanya mungkin berguna pada masa-masa tertentu.

Mengulas perkara sama, Penganalisis Keselamatan Nasional Malaysia, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, inisiatif kerajaan itu merupakan satu kaedah untuk memastikan setiap lapisan rakyat mendapat keadilan dari segi undang-undang.
"Baguslah kerajaan beri ruang kepada rakyat untuk mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment