My Add

Monday 7 January 2013

Mohamad Salleh fail permohonan gugurkan pertuduhan pecah amanah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Januari, 2013: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, hari ini memfailkan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan.

Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah di dalam kamar.

Mahkamah menetapkan 8 Februari ini untuk sebutan kes. Ketika ditemui pemberita, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk menggugurkan dua pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Mohamad Salleh.

Awang Armadajaya memberitahu pihaknya diberi tempoh tiga minggu untuk mengemukakan afidavit jawapan berhubung permohonan terbabit (pengguguran pertuduhan).

Kes itu dijadual dibicarakan pada 21 Januari ini, ditangguhkan sehingga kes permohonan itu didengar.

Pada 12 Mac tahun lalu, Mohamad Salleh, 64, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot No 56454 di Mukim Kuala Lumpur. 

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat berkenaan di mana beliau dan salah seorang anaknya adalah pemilik syarikat itu.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Sementara itu, Mohamad Salleh iaitu selaku pengarah NFCorp didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium tersebut, mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment