My Add

Tuesday 22 January 2013

Muhyiddin yakin BN mampu pertahan Melaka pada PRU-13

MELAKA:, SELASA, 22 Januari, 2013 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Melaka akan terus menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, BN Melaka dijangka mempertahankan semua kerusi pada PRU-13 di samping mampu menawan beberapa kerusi yang kini dikuasai pembangkang.

"Saya yakin BN Melaka bukan setakat mempertahankan tetapi meningkatkan lagi jumlah kerusi sama ada di peringkat Parlimen, lebih-lebih lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya selepas menghadiri jamuan rakyat 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malik di sini sempena lawatan sehari beliau ke Melaka hari ini.

Muhyiddin merangkap Timbalan Pengerusi BN yang sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin BN Melaka di ibu pejabat UMNO negeri di Jalan Hang Tuah di sini, menyatakan rasa puas hati dengan persiapan jentera BN negeri bagi menghadapi PRU-13.

"Daripada taklimat yang Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah sampaikan, saya cukup berpuas hati, Melaka satu-satunya negeri yang sudah pun bersedia hampir 100 peratus," katanya.

Muhyiddin meminta jentera BN negeri supaya terus menjalankan usaha bagi meningkatkan sokongan rakyat kepada parti pemerintah itu sehingga ke hari pengundian.

Beliau turut mengingatkan ahli BN di negeri itu supaya saling berkerjasama dan tidak menimbulkan masalah yang boleh menggugat parti. 

"Jangan timbulkan apa-apa masalah baharu, kerjasama dan perpaduan antara pemimpin dalam komponen parti BN ini mesti kita teruskan dan jentera di semua peringkat mesti dalam keadaan bersiap siaga daripada sekarang sampai Parlimen (Dewan Rakyat) dibubar, lepas itu penamaan calon, hari-hari berkempen sampai ke hari membuang undi," katanya.

Pada PRU-12, BN Melaka memenangi lima daripada enam kerusi Parlimen dan 23 daripada 28 kerusi DUN. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment