My Add

Saturday 26 January 2013

Najib berjaya pasarkan "Malaysia" di Davos

*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada majlis Malam Malaysia yang diadakan sempena Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2013 (WEF) di Davos, Switzerland. - BERNAMA

DAVOS (Switzerland), SABTU, 26 Januari, 2013: “Malaysia" berjaya dipasarkan di pentas dunia dan diyakini, itulah yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik mengakhiri lawatan kerja ke bandar pelancongan yang menganjurkan Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013.

Berpuas hati dengan hasil kerja keras memasarkan Malaysia sepanjang forum itu berlangsung, Najib berkata beliau yang dibantu tiga orang menteri kanan telah berjaya menyampaikan “kisah Malaysia" kepada sebahagian besar peserta forum kali ini.

Dianggarkan lebih 3,000 peserta menghadiri forum berprestij itu. Mesyuarat Tahunan WEF itu berlangsung selama lima hari sehingga 27 Januari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Najib berkata keputusan untuk menyertai WEF secara besar-besaran pada tahun ini dibuat kerana beliau begitu yakin Malaysia sememangnya sarat dengan kejayaan, terutamanya melalui transformasi yang besar, khususnya bidang ekonomi yang menjurus ke arah negara berpendapatan tinggi kurang lapan tahun lagi.

Katanya, Malaysia juga telah berjaya menambah pelaburan, meningkatkan nilai pasaran saham dan menyediakan peluang pekerjaan.

“Kita juga berjaya membendung inflasi, kadar pengangguran yang rendah, kedudukan ranking yang lebih baik oleh World Bank dan IMD. Kejayaan ini, kita dapat persembahkan ketika pertemuan-pertemuan yang diatur sepanjang WEF ini berlangsung," katanya.

Najib turut yakin Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan pendapatan per kapita lebih AS$15,000 sekiranya kadar pertumbuhan negara mencecah lima peratus setiap tahun.

Katanya, pendapatan perkapita telah pun melonjak kepada AS$9,750 pada akhir tahun lepas daripada AS$6,700 empat tahun lalu.

“Ini semua menjadi satu pakej yang kita akan paparkan kepada komuniti antarabangsa di Davos dan tidak ada platform yang lebih besar dan lebih strategik daripada WEF," katanya.

Perdana Menteri berkata Malam Malaysia, iaitu kemuncak penyertaan negara di WEF ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 orang, melebihi jangkaan 400 orang.

“Dalam keadaan yang muram, ekonomi dunia terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, Malaysia merupakan antara beberapa tempat di mana mereka melihat sinaran kejayaan kita dalam menguruskan ekonomi negara dan membawa pembaharuan ataupun transformasi yang kita janjikan itu."

Turut hadir di Malam Malaysia itu ialah Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Thailand, Kittiratt Na-Ranong; dan beberapa ketua-ketua eksekutif, dan penggubal keputusan di organisasi masing-masing.

“Apa yang kita cuba tonjolkan pada malam itu hanya bayangan apa yang boleh mereka nikmati, kecapi dan rasai sekiranya mereka melawat Malaysia, apatah lagi jika memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment