My Add

Saturday 19 January 2013

Najib mahu belia sumbang kepada pembangunan masyarakat, negara

PUTRAJAYA, JUMAAT, 18 Januari, 2013:: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu belia di negara ini memikir dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara, menjangkau kepentingan masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan sedia menghulurkan apa juga bantuan dan sumbangan bagi menjayakan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada semua pihak termasuk golongan belia yang dianggap aset negara.

"Kita mahukan supaya orang muda ini tidak melihat diri mereka secara individu tetapi bagaimana mereka boleh memberi sumbangan yang menjangkau kepentingan masing-masing.

"Bagaimana mereka boleh melakukan melalui semangat sukarelawan untuk menyumbang kepada kepentingan komuniti dan negara secara keseluruhan supaya mereka menjadi individu tidak pentingkan diri, individu yang mementingkan masyarakat dan individu lain yang boleh kita banggakan," katanya ketika berucap pada majlis Duta 1Malaysia di sini hari ini.

Ia adalah program anjuran 1Malaysia For Youth (iM4U), inisiatif Perdana Menteri sendiri untuk belia Malaysia bagi menjalankan aktiviti kesukarelawanan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dalam keperluan dan kumpulan sosial.

Najib berkata, platform itu juga menyediakan sokongan kewangan untuk projek sukarelawan melalui Dana Sukarelawan Tabung 1Malaysia (DRe1M).

Katanya, bagi meningkat lagi semangat belia, satu program besar-besar akan diadakan pada 3 Feb melibatkan semua negeri yang menggalakkan pelbagai aktiviti sukarelawan dilakukan para belia serentak.

"Saya sendiri akan terlibat dalam program ini. Kita akan buat aktiviti secara menyeluruh di mana dari Perlis ke Sabah. Setiap anggota Kabinet dan ketua menteri dan menteri besar juga akan terlibat dalam program itu," katanya.

Pada majlis hari ini, 20 ikon belia yang sudah menyumbang kepada pembentukan negara dalam pelbagai bidang seperti sukan, perniagaan, muzik dan aktiviti kemasyarakatan diiktiraf sebagai Duta 1Malaysia.

Ikon terbabit ialah Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chong Wei, Pandelela Rinong, Teoh Su Lim (Micheal Teoh), Deborah Priya Henry, Abdul Jabbar Mohammed Kahar (Imam Muda), Zulfahmi Khairuddin, Anand Rajaram, Roshan Chandrasekhar dan Afdlin Shauki Aksan.

Turut menerima penghormatan itu ialah Khairul Fahmi Che Mat, Lim Kok Gin (Jin), Lim Teik Yin (Jack), Mohammed Noh Salleh (Noh Hujan), Mohd Zhariff Afandi, Joel Neoh Eu-Jin, Nurshahila Amir Amzah (Shila Amzah), Sazlini Falak (Sazzy Falak), Shazrina Tan Sri Azman Hashim (Mizz Nina) dan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet).

Pengiktirafan itu adalah yang pertama di negara ini, hasil idea Najib bagi menghargai kejayaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa sekali gus mengenengahkan konsep 1Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment