My Add

Saturday 5 January 2013

Najib umum penerbangan percuma menerusi Program Integrasi 1Malaysia

SEPANG, SABTU, 05 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelaksanaan 'Program Integrasi 1Malaysia' bersama AirAsia, yang
menyaksikan tawaran penerbangan percuma oleh syarikat penerbangan itu bagi
laluan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, untuk satu tempoh tertentu.

Katanya, beliau hadir bagi melancarkan reka bentuk 'livery' khas pesawat 1Malaysia sempena program integrasi itu di terminal LCCT di sini pagi ini kerana
amat tertarik dengan apa jua usaha untuk memupuk integrasi dan perpaduan
nasional.

Najib berkata, inisiatif Air Asia yang berpaksikan konsep gagasan 1Malaysia
yang diilhamkan beliau itu pasti akan dapat 'mendekatkan' lagi Sabah dan Sarawak
dengan semenanjung. 

"Saya lihat konsep 1Malaysia ini sebagai satu konsep yang cukup bermakna dan
boleh membawa negara ke tahap mercu kejayaan yang kita impikan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran 'livery' khas pesawat Airbus A320 itu di Terminal Tambang Rendah (LCCT) di sini, hari ini.

Beliau berkata, konsep itu menekankan kepada soal 'inklusif' dalam setiap
usaha yang digerakkan kerajaan, kerana kerajaan sedar potensi negara boleh
direalisasi jika semua pihak dapat bergerak dan bertindak sebagai satu komuniti,
iaitu warga Malaysia.

Difahamkan butiran lebih lanjut mengenai tempoh serta perincian mengenai
pengisian 'Program Integrasi 1Malaysia' bersama Air Asia itu akan diumum
syarikat penerbangan berkenaan minggu depan.

Perdana menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian menaiki pesawat
itu bersama beberapa pemimpin komuniti yang didatangkan khas dari Sabah dan
Sarawak untuk program hari ini serta sekumpulan wartawan, berlepas menuju ke
Kuantan.

Najib berkata, selain sokongan kepada program integrasi itu, kehadirannya
bertujuan memberi pengiktirafan kepada Air Asia sebagai sebuah syarikat
penerbangan yang berjaya menampilkan diri sebagai satu jenama yang sangat
terkenal di persada antarabangsa.

Beliau berkata, bermula dengan hanya dua pesawat usang kira-kira 11 tahun
lepas, ia kini mempunyai lebih 146 pesawat, dan akan mencapai lebih 300 pesawat
tidak lama lagi.

Seramai 20 pekerja mengambil masa kira-kira 12 hari menggunakan 121 tin cat
untuk menyediakan 'Livery' pesawat 1Malaysia pada pesawat Airbus A320 yang
berkapasiti 180 penumpang itu.

Pesawat itu akan diguna di laluan operasi Air Asia Berhad, yang meliputi
lebih 70 destinasi di 20 negara, membawa pengalaman 1Malaysia kepada masyarakat seluruh dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment