My Add

Saturday 19 January 2013

Nasib tebusan belum diketahui

 *IMEJ yang diambil daripada Al-Jazairia 3 TV merakamkan beberapa orang tebusan warga asing yang berjaya dibebaskan oleh tentera Algeria yang menggempur kompleks pemprosesan gas di In Amenas. semalam. - AFP

ALGIERS, JUMAAT, 18 Januari, 2013: Nasib tebusan yang ditahan oleh kumpulan militan di komplek pemprosesan gas di timur Algeria selepas tentera negara ini menggempur kompleks itu, semalam, terus menjadi tanda tanya.

Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg berkata, mereka masih tidak memperolehi maklumat jelas tentang apa yang berlaku kepada tebusan dan pegawai maklumat di Algiers pula tidak mempunyai maklumat yang lengkap.

Kekeliruan dan ketegangan di kompleks gas di In Amenas, berhampiran dengan sempadan Libya itu, terus berlaku sepanjang malam tadi, lapor agensi berita Algeria, APS.

Maklumat-maklumat yang diterima daripada beberapa sumber bercanggah antara satu sama lain, termasuk bilangan pekerja yang ditahan oleh kumpulan pengganas itu sebagai tebusan.

Media Algeria dan Perancis melaporkan beberapa tebusan berjaya menyelamatkan diri.

APS pula melaporkan, empat pekerja asing dan 600 pekerja tempatan dibebaskan dalam operasi tentera di kompleks itu yang dikendalikan oleh syarikat BP, Statoil dari Norway dan syarikat milik Algeria itu, semalam.

Namun, Menteri Penerangan Algeria, Mohammed Said berkata, mereka masih belum mendapat angka rasmi daripada insiden itu, tetapi Perdana Menteri Britain, David Cameron memberi amaran supaya semua pihak bersiap sedia menerima berita buruk.

Rakyat Britain, Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Norway, Ireland, Jepun dan Filipina adalah antara mangsa yang dijadikan tebusan.

Setakat ini, nasib dua rakyat Malaysia, Chong Ngen Chung dan Tan Ping Wee yang bekerja di Algeria masih tidak diketahui.

Negara-negara yang terbabit mendakwa tidak dimaklumkan tentang operasi ketenteraan itu sehinggalah ia dilancarkan.

Jepun yang mengesahkan dua rakyatnya maut dalam operasi itu menyifatkan serangan itu sebagai mengecewakan, menurut Jurucakap kerajaan Jepun, Yoshihide Suga.

Syarikat kejuruteraan Jepun, JGC Corp yang merupakan majikan kepada kedua-dua mangsa itu berkata, tiga daripada pekerjanya selamat, tetapi seramai 14 orang lagi tidak dapat dihubungi.

Dalam serbuan semalam, tentera Algeria dilaporkan berjaya menguasai semula kawasan kediaman pekerja di kompleks itu, tetapi kemudahan pengeluaran masih dikuasai oleh kumpulan militan al-Qaeda itu, lapor APS.

Semalam, APS yang memetik kenyataan pegawai yang enggan dikenali melaporkan, operasi untuk menyelamatkan tebusan itu telah berakhir.

Bagaimanapun pegawai AS dan Britain hari ini berkata, operasi ketenteraan akan disambung semula, hari ini.

Kumpulan militan menyerang kompleks gas itu di In Amenas, kelmarin dan menjadikan kira-kira 191 pekerjanya sebagai tebusan dengan 41 daripada mereka merupakan pekerja asing.

Sehari selepas itu, tentera Algeria mengepung kompleks pemprosesan gas itu semalam sebelum menggempur kompleks itu untuk menyelamatkan tebusan selepas rundingan gagal, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 35 tebusan dan 15 anggota militan maut. - DPA

No comments:

Post a Comment