My Add

Monday 7 January 2013

Negara teruskan konsep 'keselamatan makanan'

KEPALA BATAS, AHAD, 06 Januari, 2013: Malaysia akan terus mengamalkan konsep 'keselamatan makanan' walaupun sudah mencapai status negara maju bagi memastikan bekalan tersebut tidak terputus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, walaupun pertanian bukan lagi sektor utama ekonomi negara, bekalan makanan yang dihasilkan di Malaysia perlu dikekalkan bagi mengurangkan kebergantungan bahan import.

"Dulu semasa tahun 1950-an dan 1960-an, lebih daripada 50 peratus pertumbuhan ekonomi negara disumbangkan oleh sektor pertanian.

"Bagaimanapun kini pertumbuhan ekonomi negara banyak disumbangkan oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan manakala sektor pertanian sudah berada di tangga ketiga," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kelompok Padi Permatang Tiga Pajak Song Ke-10 di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun pertanian berada di tangga ketiga dalam sumbangan ekonomi negara, kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan sektor berkenaan kerana amat penting memastikan kesinambungan bekalan makanan berterusan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memberitahu, kerajaan juga sentiasa memberi tumpuan pada sektor berkenaan bagi memastikannya masih relevan dari semasa ke semasa.

Jelasnya, bagi memastikan golongan petani mampu mengikuti arus globalisasi yang semakin maju, kerajaan sentiasa melakukan transformasi selain memberi pelbagai jenis bantuan dan insentif bagi membolehkan mereka turut menikmati kemajuan yang dicapai negara.

"Dulu golongan petani sering dianggap sebagai golongan berpendapatan rendah dan tidak mampu meraih pendapatan tinggi.

"Namun kini kita dapat lihat ramai golongan petani yang mengalami perubahan sosiomobiliti daripada golongan berpendapatan rendah kepada golongan berpendapatan sederhana, malah sudah ada di antara petani yang menjadi kaya," ujarnya.

Tambahnya, kejayaan anak-anak petani yang mampu belajar di peringkat tinggi selain menjawat tugas sebagai golongan profesional juga adalah hasil daripada transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu golongan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment