My Add

Saturday 12 January 2013

NGO boleh pikul tanggungjawab baru dalam pembinaan bangsa

SHAH ALAM, SABTI, 12 Januari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau mengakui kepentingan yang semakin meningkat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memikul tanggungjawab baru, menjadi lebih pendesak dan memainkan peranan proaktif dalam pembinaan bangsa.

Bercakap pada majlis ulang tahun ke-30 Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia di sini malam tadi, Najib berkata, masa sudah berubah dalam peranan NGO terutama NGO Cina, yang bertukar daripada peranan tradisinya, seperti yang ditunjukkan oleh persekutuan berkenaan.

Contohnya, beliau berkata, menerusi perkongsian antara kerajaan, Persatuan Lim dan Yayasan Wanita Cina Malaysia MCWF), kerajaan berupaya membantu usahawan wanita Cina memperoleh mikro kredit berjumlah RM30 juta.

Malah, Najib berkata, Persatuan Lim dengan MCWF berjaya mentadbir urusan pemberian pinjaman dan mengutip pembayaran balik pinjaman.

"Saya gembira menyatakan usaha perkongsian unik kerajaan bersama Persatuan Lim, MCWF berjaya dilaksanakan melangkaui jangkaan saya... membantu ribuan wanita khususnya untuk memulakan perniagaan sendiri atau mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Najib berkata, beliau percaya perkongsian seperti itu boleh menjadi acuan pada masa depan dalam usahasama atau apa-apa bidang.

"Jika NGO boleh bekerja dengan kerajaan dalam semangat perkongsian sebenar, gabungan kerajaan dan NGO akan menjadi satu kuasa hebat untuk membantu orang ramai dan membentuk masa depan negara," katanya. 

Beliau berkata, Penasihat Eksekutif Persatuan Lim, Tan Sri SP Lim sudah membantu mencari penyelesaian membantu kerajaan menyelesaikan masalah dihadapi persatuan pemandu teksi dan persatuan pemandu lori.

"Kami percaya dialog dan rundingan bagi menyelesaikan masalah boleh dicapai tetapi jika anda memilih konfrontasi dan anda memilih demonstrasi ia akan membawa kepada hasil yang negatif.

"Kita telah melihat banyak negara yang mana rakyatnya memilih penyelesaian radikal dengan berdemonstrasi di jalan raya dan cuba menukar kerajaan dan dalam tindakan itu perniagaan merosot, rakyat menderita... bukannya mereka mencapai kemajuan sebaliknya regresi, sepatutnya mencapai kemakmuran mereka mendapat kesengsaraan," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment