My Add

Thursday 17 January 2013

Ops 6P: 4 majikan antara 28 ditahan

MELAKA, KHAMIS, 17 Januari, 2013: Empat majikan merupakan antara 28 yang ditahan Jabatan Imigresen Negeri Melaka dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/PATI (6P) di empat lokasi berasingan sekitar negeri ini.

Pengarahnya, Kamaluddin Ismail berkata, keempat-empat majikan berkenaan termasuk seorang wanita berusia 20 dan 40 tahun ditahan dalam dua operasi pada 4 hingga 6 petang semalam dan 12 tengah malam hingga 3 pagi tadi.

Beliau berkata, keempat-empat mereka ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1956/63 kerana memberi perlindungan kepada warga asing dan Seksyen 55B akta sama kerana mengambil pekerja tanpa permit.

Katanya, seramai 24 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nigeria berusia antara 20 dan 53 tahun turut ditahan dalam operasi itu.

"Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan selain masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah serta tamat tempoh," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment