My Add

Thursday 10 January 2013

Pelarian kekurangan makanan
 *SEORANG kanak-kanak pelarian Syria mengikat khemahnya di kem pelarian di Lembah Bekaa di timur Lebanon, kelmarin. Pelarian Syria di kem-kem pelarian berdepan masalah banjir sehingga sekolah-sekolah terpaksa ditutup selama dua hari mulai hari ini. - AFP

DAMSYIK, RABU, 09 Januari, 2013: Krisis kemanusiaan di Syria semakin meruncing apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan lebih sejuta rakyat di negara ini menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan ekoran kesukaran menyalurkan bantuan di zon-zon konflik.

Jurucakap agensi PBB, Program Makanan Sedunia, Elisabeth Byrs, hari ini berkata, pihaknya menyalurkan bantuan kepada kira-kira 1.5 juta rakyat Syria pada setiap bulan dan masih tidak mampu menampung keperluan 2.5 juta orang yang lain.

Brys berkata, bekalan keperluan asas seperti roti dan minyak semakin berkurangan, ditambah lagi dengan tindakan kerajaan mengehadkan operasi agensi kecemasan untuk menyalurkan bantuan.

"Rakan utama kami, Pertubuhan Bulan Sabit Merah Arab Saudi yang menempatkan kem-kem pelarian, tidak mampu lagi menampung jumlah pelarian dari Syria," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Geneva.

Brys berkata, situasi rakyat Syria beratur panjang untuk mendapatkan roti semakin menjadi rutin di kebanyakan kawasan di negara ini dan kekurangan bekalan gandum semakin membimbangkan ekoran kemusnahan kilang-kilang tepung yang kebanyakannya terletak di kawasan bergolak di Aleppo.

Jelasnya, keadaan menjadi lebih sukar memandangkan hanya agensi terpilih dibenarkan menyalurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan serta dibebankan lagi dengan kekurangan pekerja, minyak dan bahan-bahan lain.

"Keadaan keselamatan yang tidak terjamin juga memaksa WFP mengeluarkan pekerja dari pekan Homs, Aleppo, Tartous dan Qamisly," katanya.

Sementara itu, wartawan Al-Jazeera di Amman, Nisreen El-Shamayleh melaporkan, keadaan kemudahan yang teruk di sebuah khemah pelarian di Jordan juga telah menimbulkan kekecohan ketika staf misi kemanusiaan menyalurkan bantuan.

Katanya, pergelutan sesama pelarian Syria itu tercetus di khemah Zaatari, pagi semalam selepas mereka kecewa dengan keadaan khemah yang teruk dan terdedah kepada hujan lebat dan cuaca sejuk.

"Insiden tersebut bermula apabila sekumpulan besar pelarian sedang beratur untuk mendapatkan makanan daripada pekerja bantuan.

"Kumpuan pelarian terbabit kecewa dengan keadaan khemah yang terdedah kepada cuaca sejuk dan hujan lebat," katanya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment