My Add

Monday 21 January 2013

Pemandu teksi ditahan miliki 11kg ganja

SEREMBAN, ISNIN, 21 Januari, 2013: Polis menahan seorang pemandu teksi kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 11 kg bernilai RM30,800 dalam satu serbuan ke atas sebuah premis perniagaan ayam di Kampung Chelet, Jalan Salak, Nilai, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Supt Baharom Othman berkata, lelaki berusia 44 tahun tersebut ditahan selepas sepasukan anggota dari bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima maklumat awam dan membuat risikan ke atas premis tersebut.

"Semasa pemeriksaan ke atas suspek yang turut berkerja secara sambilan di premis perniagaan ayam tersebut, polis menjumpai satu paket kecil lutsinar mengandungi dadah disyaki ganja.

"Seterusnya siasatan ke atas suspek telah dibuat dan akhirnya suspek memberitahu ada lagi dadah ditanam di dalam tanah di kebun kelapa sawit kira-kira 50 meter dari premis tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baharom berkata, lelaki tersebut kemudiannya membawa anggota polis ke bahagian belakang premis terbabit dan menunjukkan tempat dadah itu ditanam sebelum pihak polis menggalinya dan menemui sebuah kotak mengandungi 11 ketul dadah mampat seberat satu kilogram setiap satu.

Katanya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah ditahan reman sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut dan memberitahu kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment