My Add

Friday 11 January 2013

Penganggur dipenjara 26 tahun dan 20 sebatan kerana rompak kerani

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 11 Januari, 2013: Seorang penganggur hari ini dikenakan hukuman penjara berjumlah 26 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan merompak seorang wanita dan mencederakan kakak mangsa, bulan lalu.

Hakim S.M. Komathy menjatuhkan hukuman itu terhadap Choo Wei Yang, 48, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan terbabit.

Dia dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan masing-masing bagi setiap pertuduhan dan hakim memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh tangkapan 1 Disember lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Choo didakwa mrompak wang tunai RM1,000 milik seorang kerani, Chai Ling Fong, 31, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, tertuduh didakwa mencederakan kakak mangsa Lin Lin, 35, dengan pisau ketika merompak mangsa yang telah mengeluarkan wang dari mesin ATM di sebuah bank di sini.

Ketika membuat keputusan, Komathy berkata tertuduh telah melakukan kesalahan serius dan mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman ringan.

Tertuduh, yang masih bujang, didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Public Bank, Jalan Kuchai Lama, Brickfields, dekat sini, pada 10 malam, 1 Disember lalu. 

Choo, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mangsa ketika diberi peluang memberi kenyataan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, memaklumkan bahawa beliau kini masih trauma dengan kejadian itu.

"Semasa kejadian, anak-anak saya berdalam dalam kereta dan mereka menyaksikan insiden itu. Selepas itu, anak-anak juga takut ketika berada di rumah dan melarang saya keluar dari rumah untuk mengeluarkan wang," katanya.

Terdahulu, peguam Zainuddin Abd Razak, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh menghidap penyakit kencing manis serta menginsafi perbuatan yang dilakukannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shashitah Mohamed Hanifah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment