My Add

Wednesday 9 January 2013

Peniaga Malaysia di Indonesia perlu daftar cap dagang

KUALA LUMPUR, SELASA, 08 Januari, 2013: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggalakkan pengeksport Malaysia yang mempunyai perniagaan di Indonesia, segera mendaftarkan cap dagang masing-masing memandangkan undang-undang hak harta intelektual negara itu mengguna pakai peraturan yang pertama mendaftar sebagai pemilik cap dagang.

Dalam kenyataan hari ini, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Jakarta Nadzri Shamsudin berkata, syarikat-syarikat Malaysia dinasihatkan supaya mendaftarkan cap dagang produk masing-masing di Indonesia secepat mungkin bagi melindunginya daripada pemalsuan.

"Indonesia telah melakukan reformasi ke atas undang-undang cap dagang yang sudah berusia sedekad itu bagi mematuhi Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia bagi Perjanjian Hak Harta Intelektual berkaitan Perdagangan, yang bertujuan mewujudkan persekitaran pelaburan dan perdagangan yang lebih baik.

"Sijil tanda diberikan kepada pemohon dalam tempoh tiga puluh hari daripada tarikh pendaftaran, yang memberikan perlindungan undang-undang untuk tempoh 10 tahun, dengan pembaharuan boleh dibuat oleh pemilik masing-masing," katanya.

Beliau berkata, syarikat Malaysia yang mahu melindungi cap dagang masing-masing yang digunakan di Indonesia, mesti mendaftar dengan Direktorat Jeneral Hak Harta Intelektual Indonesia.

"Laman webnya www.dgip.go.id, menyediakan pangkalan data untuk mengesan paten, cap dagang, reka bentuk dan hak cipta," katanya.

Beliau berkata perniagaan asing yang tidak mempunyai pejabat di Indonesia diminta membuat permohonan menerusi peguam atau ejen Hak Harta Intelektual Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment