My Add

Tuesday 22 January 2013

Perbicaraan Liong Sik ditangguh lagi, pendakwa perlu masa

*DR. Mahathir  berbual dengan Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 21 Januari, 2013: Representasi pertama dikemukakan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik berhubung pertuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), masih belum diputuskan oleh pendakwa raya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai pihak pendakwaan dalam kes itu memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihaknya memerlukan masa untuk berbincang dengan Peguam Negara.

Ini kerana, menurut Tun Abdul Majid, representasi pertama yang dikemukakan 19 Oktober tahun lalu itu bukan sahaja berhubung keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahkan menyentuh keterangan saksi kedua pembelaan.

Beliau berkata, saksi itu ialah Pengarah Eksekutif firma perakaunan BDO Chartered, Mok Chew Yin.

''Kami memerlukan masa untuk mengkaji secara efektif dan menyeluruh representasi dikemukakan itu serta mempertimbangkan dengan seadil-adilnya,'' kata Tun Abdul Majid yang membayangkan pihaknya akan memberikan keputusan pada akhir Mac depan.

Representasi tersebut dihantar supaya tiga pertuduhan terhadap bekas Presiden MCA itu dipertimbangkan semula ekoran penemuan terbaru melalui keterangan Dr. Mahathir pada 8 dan 9 Oktober tahun lalu.

Peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik pada prosiding itu memaklumkan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi, pihaknya bagaimanapun menarik balik representasi kedua memandangkan masih belum diputuskan sejak dikemukakan pada 21 November tahun lalu.

Liong Sik mengemukakan representasi kedua bagi mendapatkan pandangan pakar dan akauntan berhubung pengiraan nilai aliran tunai diskaun (DCF) kos pembelian tanah selain menyentuh keadaan kesihatannya.

Namun begitu, Kian Kheong membantah sebarang penangguhan dan memohon pihak pendakwaan meneruskan pemeriksaan balas ke atas Dr. Mahathir, 88, yang hadir selaku saksi keempat pihak pembelaan.

Meskipun Kian Kheong telah menarik representasi kedua, namun kata Tun Abdul Majid, pihaknya tetap memohon penangguhan kerana memerlukan masa untuk menyoal balas Dr. Mahathir.

Hakim Ahmadi menetapkan 18 Februari depan untuk mengetahui status representasi bekas Presiden MCA itu dan sambung bicara yang dijadualkan berterusan sehingga 20 Februari.

Negarawan tersebut dalam keterangannya pada 9 Oktober tahun lalu berkata, beliau tidak fikir ditipu ataupun dikelirukan Liong Sik berhubung harga pembelian tanah seluas 335.8 hektar milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) berjumlah RM1.08 bilion.

Dr. Mahathir juga berpendapat, Liong Sik seorang yang jujur selain menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan baik terutamanya dalam aspek pembangunan Pelabuhan Klang.

Liong Sik, 69, dituduh menipu kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Dia didakwa melakukan penipuan itu antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment