My Add

Tuesday 15 January 2013

Perhimpunan pembangkang cemar imej Malaysia

MUAR, ISNIN, 14 Januari, 2013: Perhimpunan pembangkang di Stadium Merdeka kelmarin hanya mencemarkan imej Malaysia di mata masyarakat antarabangsa, sekali gus mengundang persepsi negatif yang boleh menjejaskan pelaburan dalam negara.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, perbuatan berkenaan jelas tidak bertanggungjawab dan rakyat seharusnya menilai perhimpunan itu yang sebenarnya hanya mahu mengeliru dan mengetengahkan isu politik mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, pembangkang menjadikan rakyat sebagai mainan sedangkan perhimpunan itu langsung tidak memberikan manfaat.

Katanya, tiada satu isu yang dibawa pembangkang akan selesai menerusi perhimpunan sebaliknya imej negara yang akan tercemar di peringkat antarabangsa.

"Rakyat seharusnya melihat perkara ini dalam bentuk liputan di luar negara, adakah kita akan dipuji atau mendapat manfaat? Atau masyarakat antarabangsa akan menghukum kita sebagai sebuah negara yang tidak telus, zalim, rasuah.

"Saya percaya akan ada laporan sebegini yang akan muncul, mereka menuntut perkara yang tidak masuk akal, kebebasan perlu ada batasan.

''Saya harap tidak perlu lagi ada perhimpunan sebegini hingga pilihan raya umum, cukuplah dengan sikap bertimbang rasa yang diberikan semua pihak," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Gaza dan Santai Bersama Peniaga Up Town Muar di sini malam tadi.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menjelaskan, tindakan berkumpul dan berarak tidak memberikan apa-apa manfaat selain mencemarkan imej negara dan menyebabkan pelbagai pembaziran.

Katanya, Barisan Nasional (BN) banyak kali membuat perhimpunan yang lebih besar tetapi memiliki tujuan dan akan mengumumkan sesuatu untuk kepentingan masyarakat.

"Jika nak buat perhimpunan, mengapa tidak buat di negeri pembangkang, kenapa tidak buat di Selangor? Mereka tidak pernah buat perhimpunan untuk mengetengahkan kepentingan rakyat, mengapa tidak selesaikan isu air seperti dikatakan Perdana Menteri?

"Perhimpunan itu hanya untuk mengetengahkan isu politik mereka sahaja, jika hendak tunjuk kekuatan, BN lagi kuat. Mereka datang dengan pelbagai isu, tetapi saya percaya satu isu pun tidak selesai, itu hanya mainan pembangkang terhadap rakyat," katanya.

Mengenai pelanggaran undang-undang pada perhimpunan itu termasuk membawa kanak-kanak, Razali berkata, pembangkang sering mengatakan mereka adalah juara keterbukaan dan sentiasa mempertahankan undang-undang namun sebaliknya mereka adalah pihak yang paling awal melanggar dan tidak menghormatinya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment