My Add

Saturday 5 January 2013

Perlu penyelesaian kejuruteraan atasi tanah runtuh: Chee Heung, 

ALOR SETAR, SABTU, 05 Januari, 2013: Pembinaan rumah kediaman khususnya di kawasan tanah tinggi perlu mempunyai 'penyelesaian kejuruteraan' bagi mengurangkan risiko tanah runtuh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata syarat itu perlu dikenakan terhadap pemaju kerana kejadian tanah runtuh di kawasan kediaman kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

"Rasanya sudah sampai masanya untuk kita lebih tegas walaupun selepas ini
pemaju terpaksa berbelanja banyak (melaksanakan penyelesaian kejuruteraan),
tetapi demi keselamatan rakyat kita, ia tidak boleh dikompromi.

"Di Hong Kong contohnya, semua (bangunan) di cerun tinggi, tetapi
penyelesaian kejuruteraan menyebabkan bangunannya tidak mempunyai masalah.

Kalau ada tanah runtuh pun, ia tidak membabitkan risiko lain," katanya di sini,hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menyampaikan peruntukan kepada
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Kemas di dalam kawasan parlimennya di sini, hari ini.

Sebanyak 18 KRT masing-masing menerima peruntukan RM2,000 manakala 45 Tabika Kemas masing-masing menerima RM1,000 bagi membantu memperkasakan aktiviti mereka.

Chor berkata, pihak yang pakar seperti Institut Kerja Raya Malaysia dan
Jabatan Kerja Raya perlu menentukan bentuk penyelesaian kejuruteraan yang boleh dilaksanakan oleh pemaju.

Beliau juga berkata, kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di ibu
negara tidak dapat diramal walaupun arahan sudah dikeluarkan supaya Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan audit terhadap kawasan berisiko.

"Pada Ogos tahun lalu, saya sudah arahkan Jabatan Kerajaan Tempatan untuk
berhubung dengan semua PBT supaya melakukan audit ke atas kawasan berisiko tanah runtuh," katanya.

Beliau berkata, selepas ini pihaknya akan meneliti laporan audit berkenaan
dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mencari jalan menghadapi masalah
berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment