My Add

Wednesday 9 January 2013

Pikap bantah kos amah RM8,500 Papa

KUALA LUMPUR, RABU, 09 Januari, 2013: - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap) tidak bersetuju dengan cadangan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia sebanyak RM8,500 yang diumumkan oleh Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jumat lepas.

Presidennya Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata cadangan kos itu termasuk tambahan RM1,800 yang akan ditolak daripada gaji pembantu rumah berkenaan, tidak melambangkan keputusan kerajaan.

"Kita tidak akan ikut Papa. Struktur kos ini biarlah kerajaan yang umum, bukannya badan bukan kerajaan (NGO). Pikap akan hanya sokong dan akur dengan kadar yang diumumkan kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Raja Zulkepley berkata struktur kos itu wajar ditentukan berasaskan harga pasaran tetapi Pikap akan memastikan ia tidak melebih harga siling yang bakal ditentukan kerajaan Malaysia dan Indonesia.

"Kami ada kadar....mungkin lebih tinggi atau lebih rendah dari Papa. Saya tidak boleh dedah kadar itu...ia adanya rahsia dan biar kerajaan mengumumkannya," katanya.

Walaupun kos sebenar agak sukar ditentukan kerana ia bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran, Raja Zulkepley berkata Pikap yakin kos sebenar yang perlu ditanggung oleh majikan adalah wajar dan munasabah.

Beliau berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan membuat pengumuman rasmi selepas mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia tidak lama lagi.

Jumaat lepas, Papa mengumumkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada harga RM8,500 berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Isnin lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata kerajaan tidak memberikan apa-apa kebenaran kepada Papa untuk mengenakan kos tersebut dan menyifatkan bahawa ia hanyalah cadangan kepada kerajaan

Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini antara kerajaan Indonesia dan Malaysia, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majikan dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.

Berikutan lawatan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono ke Malaysia pada Disember lepas, kedua negara bersetuju supaya struktur kos pengambilan pekerja domestik Indonesia dikaji semula. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment