My Add

Monday 21 January 2013

Polis bongkar makmal proses dadah

GEORGETOWN, ISNIN, 21 Januari, 2013: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah sintetik di sebuah rumah di Air Itam di sini, serta menahan tujuh orang termasuk dua wanita, dalam serbuan Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek berusia antara 19 dan 44 tahun itu disyaki terbabit secara langsung dalam kegiatan memproses dadah yang dipercayai beroperasi dua bulan lepas.

"Dalam serbuan 8.30 malam itu polis merampas 1,275 gram serbuk dadah jenis ectasy, 54 gram ketamin, 22 gram syabu dianggar bernilai RM500,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis turut merampas mesin yang telah diubah suai serta pelbagai jenis bahan kimia untuk menghasilkan dadah serta menyita tiga buah kereta.

Menurut Abdul Rahim, seorang suspek mempunyai rekod jenayah serta pernah disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, sementara hasil ujian air kencing pula mendapati dua suspek positif dadah.

Suspek direman sehingga 25 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment