My Add

Tuesday 8 January 2013

PR setuju bukan Islam guna kalimah ALLAH

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

PETALING JAYA, SELASA, 08 Januari, 2013: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mencapai pendirian penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Pada sidang media selepas itu, Hadi berkata, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

Menurutnya, beliau juga pernah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil bertajuk ‘ALLAH: Kalimah yang Benar, Tujuan Yang Salah’.

Katanya, oleh sebab itu penganut Islam dari berbagai bangsa tetap menyebut perkataan ALLAH apabila menterjemah ke dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

“Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, PKR dan DAP menyambut baik pendirian Pas dalam isu penggunaan kalimah ALLAH.

“Kenyataan Pas kita sambut baik dan ia selari dengan pendirian Islam. Oleh demikian, kita tidak halang namun dalam mesyuarat kita suarakan keprihatinan kita supaya tidak ada pihak mempermainkan isu ini.

“Pihak-pihak gereja juga perlu menghormati prinsip ini sebagaimana orang Islam meletakkan dan memuliakan nama ALLAH,” katanya.

Isu kalimah ALLAH muncul semula selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam mesej sempena sambutan Hari Krismas tahun lalu mendesak agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Kenyataan Guan Eng ini mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya oleh tokoh-tokoh agama dan kepimpinan Umno.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa terjemahan tepat bagi ‘God’ dalam kitab Bible adalah ‘Tuhan’ dalam Bahasa Melayu. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment