My Add

Monday 7 January 2013

Proton Preve hadiah tambahan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

KOTA BHARU, ISNIN, 07 Januari, 2013: Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-56 di Kelantan pada 2 hingga 6 Mei ini, menawarkan hadiah tambahan sebuah kereta Proton Preve kepada peserta yang muncul johan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hadiah tambahan itu sebagai galakan kepada peserta qari dan qariah bersaing untuk meningkatkan lagi mutu bacaan mereka.

"Kita melihat trend tahunan perbezaan markah ialah 0.1 atau 0.3, sampai kita lihat tajwid dan taranumnya sama, sukar untuk dibezakan pemenang kerana jumlah mata diperolehi qari dan qariah begitu baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai persiapan penganjuran tilawah al-Quran tersebut di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Selain hadiah tambahan itu, qari dan qariah yang muncul johan akan menerima sebagaimana yang ditawarkan pada tilawah yang lalu, iaitu wang tunai RM15,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan haji dan sijil penyertaan.

Jamil Khir berkata pengumuman awal mengenai hadiah tambahan sumbangan Tabung Haji itu dibuat bagi membolehkan peserta membuat persiapan awal menyertai tilawah itu yang akan diadakan di Balai Islam Lundang di sini.

Beliau berkata bilangan peserta tilawah akan bertambah daripada 29 kepada 30 orang berikutan pengumuman Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini bahawa mulai tahun ini kerajaan negeri itu membenarkan penyertaan wanita (qariah) bersama peserta lelaki (qari).

Hadir sama pada mesyuarat hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan Dan Dakwah negeri, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang juga pengerusi bersama penganjuran tilawah. -  BERNAMA

No comments:

Post a Comment