My Add

Wednesday 9 January 2013

Puad ulangi amaran keras kontraktor gagal siap projek sekolah

SIBU, RABU, 09 Januari, 2013: Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi sekali lagi memberi amaran bahawa kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek sekolah mengikut jadual.

Beliau berkata kementerian telah menyenarai hitam sebuah syarikat kontraktor berpusat di Sarawak dan sebuah lagi akan disenarai hitam tidak lama lagi.

Kedua-dua kontraktor itu terlibat dalam pembinaan sistem kabin bilik darjah baharu, dewan makan dan asrama di beberapa sekolah, katanya pada sidang akhbar
Lapangan Terbang Sibu di sini, malam tadi.

Mohd Puad berkata walaupun satu daripada syarikat itu menyiapkan tujuh projek, berlaku kelewatan dan kualiti kerja tidak memuaskan.

"Mereka mencemarkan reputasi kementerian. Pada masa sama, mereka menyebabkan banyak masalah dan ketidakselesaan kepada pelajar serta mengganggu proses pembelajaran," katanya.

Terdahulu Mohd Puad melawat SMK Pakan di Pakan di Bahagian Sarikei untuk melihat sendiri kemajuan pembinaan satu projek baharu bernilai RM7.8 juta.

Mohd Puad turut melahirkan rasa kesal dan marah terhadap kontraktor berpusat berkenaan yang gagal menyiapkan 18 bilik darjah baharu, empat asrama dan satu dewan makan selepas mendapat projek itu pada awal 2010.

Walaupun diberi lanjutan masa sehingga Ogos 2012, kontraktor berkenaan masih gagal menyiapkan 10 peratus daripada kerja-kerja itu, antaranya dewan makan.

"Kami akan melantik kontraktor baharu dan pada masa sama mencadangkan kontraktor berpusat itu disenarai hitam," katanya.

Mohd Puad berkata walaupun terdapat beberapa projek sakit di negeri ini tahun lepas, 58 daripadanya berjaya disiapkan.

Beliau berkata terdapat dua sekolah baharu yang memulakan sesi persekolahan tahun ini iaitu SMK Julau di Julau dan SM Sains Kuching Utara di Kuching. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment