My Add

Monday 14 January 2013

Rakyat hargai bantuan air

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR, AHAD, 13 Januari, 2013: Keprihatinan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terhadap krisis bekalan air yang dihadapi oleh para penghuni rumah pangsa Seri Melaka, Cheras baru-baru ini mencuit perasaan masyarakat di situ.

Dua hari lalu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah mengagihkan air minuman kepada penduduk di rumah pangsa berkenaan bagi meringankan beban mereka yang berhadapan masalah mengangkut air daripada tangki yang disediakan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk yang terlibat dalam pengagihan tersebut berasa terharu dan bersyukur kerana kesukaran mereka menjalani kehidupan tanpa air terus mendapat perhatian.

Seorang bekas pemandu, Ismail Jaafar, 62, yang menjalani dialisis tiga kali seminggu akibat masalah buah pinggang mengucapkan syukur kerana keprihatinan isteri Perdana Menteri itu terhadap kesusahan penduduk di sini.

Ismail berkata, dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, kerja-kerja mengangkut air tidak dapat dilakukan dan terpaksa dibuat oleh isteri dengan bantuan seorang anaknya berusia 14 tahun yang mengalami masalah mental.

"Nasib baiklah tinggal di tingkat yang paling bawah sekali, maka mudahlah untuk isteri dan anak saya mengangkut air setiap hari. Jika saya sihat, saya memang akan membantu mereka," katanya yang juga tinggal bersama empat anaknya yang lain termasuk seorang yang mengalami patah kaki.

Seorang lagi penduduk yang mengalami masalah buah pinggang, Tan Ting Min, 70, turut mengucapkan terima kasih kepada Rosmah kerana sudi menjenguk masyarakat di sini dan menyumbangkan air minuman walaupun sibuk dengan pelbagai aturcara rasmi.

"Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beberapa penduduk kerana membantu mengangkut air bagi keluarga saya memandangkan isteri turut mengalami masalah kesihatan," kata bekas pemandu teksi itu.

Sementara itu, Pengerusi Madrasah Al-Hidayah Rumah Pangsa Seri Melaka, Haris Othman, terharu kerana ada pihak terutama isteri Perdana Menteri yang mengambil berat terhadap kesusahan penduduk rumah pangsa terutama golongan warga emas, orang kurang upaya dan yang mengalami masalah kesihatan.

Haris yang juga seorang pesara tentera berkata, bantuan itu sedikit-sebanyak membantu meringankan beban penduduk daripada terus mengalami kesukaran melakukan kerja harian tanpa bekalan air.

"Saya berharap krisis bekalan air ini dapat dipulihkan segera kerana banyak lagi kesusahan yang akan dihadapi penduduk terutama bagi mengambil wuduk," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, kesanggupan Rosmah turun padang untuk mendekati rakyat menunjukkan keprihatinan beliau kepada masyarakat akar umbi yang berdepan masalah air.

Kata beliau, pihaknya akan terus mengagihkan air minuman itu kepada 14 blok rumah pangsa Seri Melaka dan lima blok rumah pangsa 4E.

"Bekalan air akan terus diedarkan dengan kendalian Skuad Baldi yang ditubuhkan baru-baru," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment