My Add

Monday 14 January 2013

Rakyat jangan emosi tukar kerajaan

BUTTERWORTH, AHAD, 13 Januari, 2013:  Rakyat diingatkan supaya tidak terperangkap dengan dakyah pembangkang untuk mendesak menukar kerajaan sedia ada yang kononnya tidak bersih atau telus kerana ia merupakan satu helah semata-mata.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, tindakan sedemikian hanya akan memakan diri kerana negeri-negeri yang dikuasai pembangkang sehingga kini tiada yang menunjukkan prestasi membanggakan.

"Saya harap rakyat jangan terlampau emosi untuk menukar kerajaan kerana ia bukan perkara senang. Apa yang mereka (pembangkang) buat sampai sekarang kita sendiri tidak tahu. Jangan masuk perangkap, nanti menyesal.

"Undi dengan baik, dengan hati terbuka dan jangan ikut perasaan," katanya ketika berceramah dalam program The days we were in Pakatan Rakyat di sini malam tadi.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar mahu membela nasib dan kebajikan rakyat menerusi pelbagai program.

"Saya sendiri mahu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana banyak membantu rakyat," ujarnya.

Bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syamsul Hidayat Mohd. Shariff pula memberitahu, berdasarkan pengalamannya terdahulu, beliau membuat kesimpulan bahawa pembangkang disifatkan sangat 'berbahaya'.

Jelasnya, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat untuk mendapatkan kuasa memerintah tercapai.

"Kita boleh pergi dengar ceramah mereka (pembangkang) tetapi jangan percaya. Cerita orang mati (kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu) pun mereka sanggup reka," katanya dalam ceramah di majlis sama.

Sementara itu, bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bentong, Osman Ishak menjelaskan, rakyat seharusnya bersyukur dengan apa yang ada di negara ini.

Katanya, tiada kaum yang disekat untuk mencari kekayaan atau mengecapi kejayaan dalam kehidupan mereka.

"Orang Melayu boleh hidup dengan selesa tanpa gangguan. Orang Cina pula boleh berniaga sehingga menjadi kaya tanpa sekatan manakala orang India menjalani kehidupan tanpa rasa takut.

"Bukan mudah untuk menjaga kestabilan negara jika tiada pemimpin dan kerajaan yang wibawa," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment