My Add

Sunday 13 January 2013

Rakyat Kelantan akui usaha Najib

KOTA BHARU, SABTU, 12 Januari, 2013: Rakyat Kelantan mengakui hasil transformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berjaya memberi impak besar kepada ekonomi rakyat serta pembangunan negeri ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menasihatkan segelintir pemimpin parti peringkat pertengahan menghentikan segera segala tindakan yang boleh mencemarkan imej parti, sekali gus membantutkan transformasi itu.

“Hasil pemantauan saya, mendapati rakyat negeri ini melihat Najib sudah berjaya melakukan banyak perubahan, termasuk pembangunan Kelantan walaupun tidak sampai empat tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

“Rakyat Kelantan begitu dahagakan perubahan selepas 22 tahun di bawah pemerintahan PAS dan sentiasa menantikan apa yang kita (UMNO) lakukan (untuk perubahan).

“Sekiranya kita masih di takuk lama (tanpa perubahan), tentu akan kalah pilihan raya umum nanti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, semalam.

 Mustapa yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, kehadiran Perdana Menteri ke Kelantan Ahad depan sempena program Janji Ditepati, dilihat sebagai satu acara penting dalam merealisasikan perubahannya.

Katanya, program 20 Januari ini adalah penting untuk Perdana Menteri bersama dengan rakyat Kelantan, sekali gus membuktikan bahawa rakyat Kelantan yakin dengan perubahan dilakukan beliau, selain dapat menikmati kesannya.

Mengenai persiapan Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam menghadapi pilihan raya umum nanti, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, BN negeri bersedia menggerakkan jentera pilihan raya dengan 541 Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan beroperasi menjelang bulan depan.

“Dari segi jentera parti, saya bersyukur kerana kini sudah menampakkan semangat tinggi untuk berjuang.

“Ini dibuktikan pada perhimpunan parti di Machang, malam semalam (kelmarin) dengan perhimpunan terbesar pernah saya hadiri membabitkan ribuan lautan Gelombang Merah,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment