My Add

Monday 21 January 2013

Rakyat Kelantan perlu berubah

KOTA BHARU, AHAD, 20 Januari, 2013: Rakyat Kelantan perlu melakukan transformasi bagi menjamin masa hadapan mereka selepas 22 tahun berada di bawah kerajaan Pas tanpa sebarang perubahan.

Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Mustapa Mohamad berkata, majoriti rakyat Kelantan dilihat bersedia melakukan perubahan dengan gelombang kebangkitan sekarang ini jelas menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin mendapat keyakinan daripada mereka.

Katanya, kebangkitan ini adalah kesan daripada komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak pernah memungkiri janji transformasi rakyat menerusi pelbagai aspek sejak menerajui kerajaan.

"Transformasi dibawa Perdana Menteri ternyata telah berjaya menembusi aspirasi rakyat negeri ini yang dahagakan perubahan sejak 22 tahun lalu, dan sudah semestinya transformasi ini akan menjamin masa hadapan rakyat dengan lebih sempurna," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 50,000 rakyat yang membanjiri kawasan RTC seawal pagi lagi sehingga menyebabkan laluan ke kawasan itu sesak.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah menzalimi rakyat negeri ini sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

"Banyak bantuan diagih sama rata tanpa mengira fahaman politik termasuk bantuan Persekolahan 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment