My Add

Monday 21 January 2013

RM201 juta bukti BN tidak gadai sistem pendidikan

TUMPAT, AHAD, 20 Januari, 2013: Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggadaikan sistem pendidikan di Kelantan meskipun negeri ini ditadbir kerajaan Pas Kelantan yang mempunyai perbezaan pandangan dan pendirian dalam soal politik sejak lebih 20 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Pusat sebaliknya menolak segala sentimen politik yang timbul dan berusaha membangunkan sistem pendidikan di negeri ini secara sama rata seperti yang dinikmati rakyat di negeri lain.

Tegas beliau, tahun ini sahaja sebanyak RM201 juta diperuntukkan kepada Kelantan melalui Bajet 2013 untuk memajukan lagi sistem pendidikan dan membantu rakyat miskin mendapat pembelajaran yang selayaknya.

"Kita mungkin berbeza pendapat, kita mungkin berbalah daripada segi politik tetapi pendidikan terlalu mahal, terlalu tinggi nilainya untuk dijadikan gadaian politik sebab itulah saya memberi jaminan bahawa bumi Kelantan akan terus mendapat perhatian dalam bidang pendidikan.

"Apa sahaja yang terhidang di negeri lain kita tetap memberi sama banyak, sebaik mungkin kepada Kelantan dan Alhamdulillah bidang pendidikan di Kelantan telah terbukti apabila mendapat tempat kedua di seluruh negara dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2012," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 guru dan ibu bapa dalam majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan 2013 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Nor Zahidi Omar dan Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan pendidikan yang diterima Kelantan tahun ini adalah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sebanyak RM 33 juta, bantuan makanan asrama (RM53.5 juta), bantuan awal persekolahan (RM35 juta), biasiswa pelajar (RM19 juta), program susu 1Malaysia (RM14 juta), rancangan makanan tambahan (RM26 juta), netbook (RM11 juta), baucer buku sebanyak RM5 juta dan wang ihsan (RM5 juta).

"Saya yakin dan percaya dengan bantuan Kerajaan Pusat, insya-Allah ramai anak bangsa kita akan dapat melakukan transformasi yang besar kepada diri sendiri kerana mereka ada peluang dalam bidang pendidikan," ujar beliau.

Sementara itu, beliau memberi peringatan bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang digunakan di negara ini yang selalu dikritik pembangkang terutama Pas tidak pernah mengabaikan pendidikan agama Islam malah pengisiannya memberi keseimbangan antara ilmu dan iman.

"Saya jangka bahawa kita tidak boleh politikkan pendidikan kerana dalam soal masa depan anak bangsa tonggaknya ialah ilmu, Allah telah menjanjikannya dan Allah tidak mungkir janji.

"Allah menaikkan martabat sesiapa yang berilmu. Begitu besar peranan ilmu dalam agama jadi kalau kita diperintah Allah untuk menjadi khalifah bumi, macam mana kalau tidak ada ilmu.

"Jadi inilah konsep kita walaupun kita kata sistem kebangsaan tetapi tujuan dan pengisiannya melahirkan anak bangsa yang beriman dan berilmu," tambah beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment