My Add

Tuesday 8 January 2013

RM780,000 untuk 1,200 ahli persatuan nelayan Muar

*RAZALI Ibrahim (dua dari kiri) mengikat bendera Barisan Nasional pada salah sebuah bot nelayan di jeti nelayan Parit Jawa dekat Muar, Johor, semalam.

MUAR, ISNIN, 07 Januari, 2013: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan peruntukan RM780,00 untuk kira-kira 1,200 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar yang layak memohon Skim Perumahan Nelayan (SPN).

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, ketika ini terdapat nelayan miskin di sini yang masih tidak memohon SPN dan mereka boleh berbuat demikian di pejabat PNK Muar kerana permohonan masih lagi dibuka.

Menurutnya, jika masih ada nelayan yang perlu untuk baiki rumah, Skim Perumahan Nelayan iaitu untuk baik pulih masih diteruskan.

Katanya, bagi yang menanti perumahan baru nelayan, ini belum lagi dibina tetapi pihak pengurusan PNK boleh kenal pasti mana-mana ahli yang memerlukan.

"Jadi apabila dah sedia (dikenal pasti), apabila projek ini siap kita tak payah tunggu lama-lama kerana senarai pemohon sudah ada," katanya berucap sebelum menyerahkan bendera Barisan Nasional (BN) di Jeti Nelayan Parit Jawa, dekat sini hari ini.

SPN diumumkan Perdana Menteri awal tahun lalu, untuk membantu nelayan miskin membaiki rumah dengan menyediakan peruntukan antara RM7,000 sehingga RM10,000 dengan syarat berusia di antara 40-60 tahun, mempunyai tanggungan enam orang anak dan ke atas, rumah di atas tanah sendiri atau sewa (perlu ada surat perjanjian/pengesahan).

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, proses mengenal pasti nelayan yang layak memohon rumah baru itu adalah sebagai persediaan awal dan diharap projek itu akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup nelayan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan berkenaan di daerah ini supaya tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang datang ke kawasan mereka menyatakan kononnya kerajaan tidak membela nelayan kerana 'orang luar' tidak pernah memperjuang atau memikirkan nasib nelayan tetapi hanya berniat menghasut menjelang pilihan raya umum nanti.

"Mereka hanya datang mencetuskan masalah dan belum pernah datang buat program selesaikan masalah nelayan. Hanya kerajaan sedia ada membantu nelayan dengan elaun sara hidup, SPN dan pelbagai lagi bantuan dan saya yakin nelayan daerah ini tidak terpengaruh kerana setiap program yang dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Mengenai kemudahan jeti untuk nelayan di daerah ini khususnya Parit Jawa yang mempunyai nelayan paling ramai, Razali berkata, usaha menyediakan kemudahan asas tersebut akan terus dilakukan bagi memenuhi keperluan golongan itu.

Katanya, kerajaan komited dalam membela nasib nelayan kerana tidak mahu mereka hidup sudah dan perlu diingati bahawa tidak semua kerajaan dalam dunia mengambil berat hal nelayan seperti yang dilakukan pemerintah sedia ada. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment