My Add

Tuesday 8 January 2013

Sejarah Kompleks Istana Negara dibukukan

KUALA LUMPUR,, ISNIN, 07 Januari, 2013: Sejarah pembinaan serta kaedah yang diguna pakai untuk menyiapkan Kompleks Istana Negara akan dibukukan dalam satu penerbitan khas buku Istana Negara Lambang Kedaulatan dan Keagungan Raja- Raja Melayu.

Menerusi penerbitan buku itu, rakyat berpeluang mengetahui fungsi tempat istiadat utama dan persemayaman Yang di-Pertuan Agong, rupa bentuk, ruang-ruang rasmi diraja, singgahsana yang menjadi lambang kebesaran takhta kerajaan sesebuah negara di mana raja yang memerintah akan bersemayam dengan penuh berdaulat lagi mulia.

Pengarah penerbitan yang juga pengarang buku, Datuk Md. Nizam Md. Sheriff berkata, membukukan satu daripada catatan sejarah akan menjadi satu bahan sejarah yang tidak ternilai harganya.

Beliau berkata, idea penerbitan buku ini datangnya daripada cetusan ilham Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (gambar) yang mahu ia menjadi bahan rujukan dan pemahaman tentang mercu tanda negara kepada generasi sekarang dan masa akan datang.

"Kompleks Istana Negara yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan Sistem Pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia turut memaparkan ciri-ciri estetika khusus dan hiasan dalaman yang boleh menjadi khazanah negara," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut beliau, buku itu menghuraikan dan memaparkan ruang-ruang rasmi, keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu, senibina Islam dan senibina moden dengan corak yang dihasilkan mempunyai motif tersendiri.

Md. Nizam berkata pelancaran buku itu akan disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin pada 9 Januari ini di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Sultan Badlishah berkenan berangkat menyerikan majlis itu.

Kenamaan lain yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, beberapa menteri Kabinet dan orang kenamaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment