My Add

Saturday 26 January 2013

Semua kaum berpeluang manfaat kemakmuran negara: MB Perlis

KANGAR, SABTU, 26 Januari, 2013: Peluang membina kekayaan dan meningkatkan taraf hidup di negara ini sentiasa terbuka untuk semua kaum dan terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk memanfaatkan kemakmuran negara itu, kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Menurutnya, peluang itu akan terus terbuka luas selagi rakyat berbilang kaum sentiasa bersyukur dan menterjemahkan kesyukuran itu melalui sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Berucap melancarkan program gotong-royong 1Malaysia di Dataran Mahkota di sini malam tadi, beliau berkata, kaum Cina antara golongan yang sentiasa memanfaatkan peluang ekonomi yang diwujudkan kerajaan.

Sebagai gimik pelancaran program gotong-royong anjuran bersama Kelab 1Malaysia Negeri Perlis dan peniaga di kawasan itu, Md Isa turut mengecat sebuah premis bersama Pengerusi kelab, Datuk Zulkifli Ibrahim.

Menurut Md Isa, kaum lain juga perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan kerana bidang ekonomi sentiasa berkembang hasil kemakmuran negara.

Mengenai gotong-royong yang akan diadakan pada 31 Januari ini, beliau berkata, ia akan membabitkan penyertaan rakyat berbilang kaum dengan tumpuan diberikan di kawasan tapak pasar malam Tahun Baru Cina di Dataran Mahkota.

Menurutnya, gotong-royong itu akan turut disertai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Kangar, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Regimen 504 Askar Wataniah. 

Beliau berkata, aktiviti gotong-royong itu dapat menyuburkan semangat perpaduan kaum yang sedia terjalin.

Sebagai permulaan, para peniaga di 50 buah gerai di dataran itu mula mengecat premis masing-masing dengan warna kuning dan biru, iaitu sempena warna bendera Perlis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment