My Add

Monday 7 January 2013

Shafie: Anwar perlu cermin diri dahulu

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

SEMPORNA, AHAD, 06 Januari, 2013: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) perlu terlebih dahulu cerminkan diri sendiri sebelum bertindak menabur pelbagai janji manis kepada penduduk Sabah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mahukan Anwar supaya merenung kembali apa yang diberikan kepada Sabah semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selama enam tahun sebelum ini.

"Anwar dalam tempoh enam tahun itu hanya peruntukkan sebanyak RM3 bilion sahaja, berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya dalam tempoh tiga tahun tetapi telah salurkan sebanyak RM24 bilion," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Pelajar Ulung Kolej RISDA Daerah Semporna di sini malam tadi.

Mohd. Shafie diminta mengulas mengenai keghairahan Anwar menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada pengundi di Sabah.

Tambah Mohd. Shafie, rakyat Sabah amat mengenali sikap talam dua muka pemimpin pembangkang itu dan tidak akan sesekali terpedaya serta terpengaruh dengan pelbagai menu menarik yang bakal disajikan sekiranya mendapat mandat kelak.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin mengenai kesanggupan beliau menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru sekiranya pembangkang memenangi negeri itu, Mohd. Shafie berkata:

"Tidak salah bagi Lajim berangan-angan, itu hak beliau, itu pun jika Anwar nak pilih dia, itu pun jika pembangkang menang tetapi saya tidak yakin pun pembangkang akan menang di Sabah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment